Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Hamsap' - Harith Iskandar disiasat lepas Shahrol Shiro lapor polis

Siasatan sedang dijalankan terhadap pelawak Harith Iskander berhubung hantaran Facebook terbarunya yang menyentuh kontroversi skandal sandwic “ham”.

Ketua Polis Daerah Kluang, Bahrin Mohd Noh mengesahkan bekas ahli kumpulan lawak Shiro, Shahrol Azizie Azmi atau lebih dikenali Shahrol Shiro membuat laporan terhadap Harith dan seorang wanita yang mengulas pada hantaran asal tersebut.

“Laporan ini sedang disiasat di bawah Seksyen 298 dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” kata Bahrin kepada Malaysiakini hari ini.

Seksyen 298 Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan menghina agama dengan sengaja, manakala Seksyen 505(c) berkaitan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam dengan niat hendak mengapikan atau yang mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain.

Terdahulu, Shahrol yang juga ahli Umno Kluang (gambar atas) mengecam Harith di Facebook atas hantaran yang didakwa membuka ruang kepada orang ramai menghina dan memperlekehkan Islam serta Nabi Muhammad SAW.

Shahrol menggesa polis mengambil tindakan tegas, berkata pada ruangan komen hantaran di media sosial itu seseorang telah menghina Nabi Muhammad SAW dengan menulis perkataan ham dalam huruf besar.

"Apabila saudara Harith Iskander membuka ruang agama dijadikan satu bahan yang boleh dipersenda maka pengikut juga akan ikut serta dengan meninggalkan komentar mempersenda agama kita.

"Perkara ini sudah melampau," katanya.

Pada Ahad, Harith memuat naik gambar menu kedai kopi dengan item bernama “Ham Sap Kopi” berserta kapsyen:

“Saya sangat keliru. Iman saya tergugat.”

“Kopi ini akan membawa saya ke jalan yang salah dalam pelbagai cara.

“Bukan sahaja menggoda saya untuk menjadi 'hamsap' tetapi juga membuat saya keliru dengan perkataan ‘ham’ dalamnya. Ni untuk minum atau makan?

“Saya perlu buat laporan polis kerana saya lemah dan hilang kemampuan menggunakan logik. Siapa lagi yang keliru,” tulis Harith.

Menu itu dipercayai merujuk kepada kopi masin, tetapi istilah “ham sap” juga digunakan secara slanga untuk menggambarkan seseorang yang pervert (penyumbaleweng).

Pada Ahad, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang juga presiden Umno dan Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal berharap tiada sesiapa memperbesar-besarkan isu skandal sandwic “ham” tersebut.

Isu itu timbul selepas penemuan sandwic ham dan keju yang dilabel halal dijual di KK Mart di Universiti Malaya.

Ia mencetuskan kekecohan, termasuk Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh yang mempetikaikan bagaimana “ham” boleh dilabel sebagai halal.

Sandwic itu dihasilkan oleh Shake and Bake Cafe Sdn Bhd, yang menggunakan ham ayam yang disahkan halal.

Namun, syarikat itu tidak mempunyai sijil untuk meletakkan logo halal pada pembungkusan sandwic tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS