Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: Pertukaran AG tiada kaitan dengan draf pertuduhan terhadap saya
Diterbitkan:  Jan 21, 2025 11:57 AM
Dikemaskini: 4:39 AM
1

BICARA 1MDB l Bekas perdana menteri Najib Razak memberi keterangan bahawa pertukaran peguam negara (AG) pada tahun 2015 tiada kaitan dengan draf pertuduhan jenayah terhadapnya yang dikatakan tersebar ketika itu.

Najib yang juga bekas menteri kewangan memberitahu Mahkamah Tinggi yang bersidang di Putrajaya hari ini bahawa akibat masalah kesihatan, Abdul Gani Patail digantikan oleh Apandi Ali.

Dalam perbicaraan kes penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan penyelewengan RM2.27 bilion dana 1MDB, Najib menafikan dakwaan Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar bahawa dia terlibat dalam penukaran AG tersebut.

Kamal: Datuk Seri masih ingat pada tahun 2015, saya seorang pegawai di Jabatan Peguam Negara (AGC) ketika itu, terdapat laporan media tentang draf pertuduhan (terhadap Najib). Adakah Datuk Seri ingat?

Najib: Saya tidak begitu ingat, tetapi saya ada dengar khabar angin tersebut. Namun, saya tidak semak.

Kamal: Berdasarkan itu, Datuk Seri sebenarnya mengarahkan Gani dipecat daripada jawatan peguam negara dan pendakwa raya.

Najib: Dia bukannya dilepaskan kerana itu. Dia ada beberapa isu.

Kamal: Datuk Seri setuju bahawa dia dilepaskan sebagai peguam negara?

Najib: Tetapi ia tidak berkaitan dengan 1MDB. Dia menghadapi beberapa isu termasuk masalah kesihatan.

Gani sebelum ini merupakan sebahagian daripada pasukan petugas pelbagai agensi pada tahun 2015 yang menyiasat 1MDB, bersama dengan bekas Gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz, bekas Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar, dan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Abu Kassim Mohamed.

Najib sebelum ini memberi keterangan bahawa dia tidak terlibat dalam pembubaran pasukan petugas tersebut, dan pembubaran itu dilakukan atas alasan pentadbiran.

Susulan pertukaran AG pada 2015, portal pendedah maklumat Sarawak Report menerbitkan salinan draf kertas pertuduhan yang didakwa itu.

Kes prima facie

Pada 30 Oktober, mahkamah jenayah mengarahkan Najib membela diri terhadap empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana RM2.27 bilion daripada syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib berdasarkan keterangan 50 saksi sepanjang peringkat pendakwaan yang berlangsung selama enam tahun sejak perbicaraan bermula pada 2019. Najib pertama kali didakwa pada tahun 2018.

Sejak keputusan prima facie itu, Najib telah memberi keterangan dalam pembelaannya terhadap pertuduhan jenayah 1MDB tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS