ADS
mk-logo
Berita
Hassan cabar PN - Jika Anwar tak layak jadi PM, kemuka usul tak percaya
Diterbitkan:  Jan 21, 2025 11:28 AM
Dikemaskini: 3:28 AM

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, menegaskan bahawa Presiden PKR dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim adalah pemimpin yang layak menjadi perdana menteri.

Sehubungan itu, ahli parlimen lantang PKR itu mencabar ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) supaya mengemukakan usul tidak percaya terhadap kepimpinan perdana menteri pada sidang Parlimen 3 Februari ini jika mereka berfikiran sebaliknya.

Hassan Karim

“Di dalam Dewan Rakyat itu nanti adalah tempat yang wajar menentukan sama ada Anwar layak atau tidak layak menjadi perdana menteri.

“Saya harap cabaran saya ini dijawab oleh (Ketua Penerangan Bersatu) Tun Faisal Ismail Aziz dan pemimpin-pemimpin PN lainnya,” katanya dalam satu kenyataan.

ADS

Dalil dan cabaran

Hassan mengulas kenyataan Tun Faisal yang mengemukakan beberapa dalil dan mencabarnya untuk mengakui bahawa Anwar dan timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi, bersama kepimpinan kerajaan campuran Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN), tidak layak memerintah negara.

Tun Faisal mendakwa kerajaan PH-BN gagal menunaikan janji-janji pilihan raya, termasuk menurunkan kos sara hidup, menghapuskan tol, dan melaksanakan reformasi institusi.

Tun Faisal Ismail Aziz

Dia juga menyifatkan pentadbiran Anwar lebih teruk berbanding kerajaan sebelumnya, selain membangkitkan isu-isu seperti keputusan DNAA terhadap Zahid dan kegagalan kerajaan menangani kes kapal tempur pesisir (LCS).

Bekas pemimpin Umno itu turut mempersoalkan integriti kepimpinan kerajaan perpaduan, denagn mendakwa mereka mengkhianati mandat rakyat dengan pelbagai kegagalan. Kenyataan ini menimbulkan reaksi daripada Hassan yang mempertahankan kelayakan Anwar sebagai perdana menteri.

Anwar - PM yang baik

Menurut Tun Faisal, tindakan Hassan yang mempertahankan kerajaan PH-BN hari ini sebagai tidak lagi rasional, terutamanya selepas dia dipanggil oleh Lembaga Disiplin PKR pada November tahun lalu.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, dia menghormati pandangan Tun Faisal, namun tetap berkeyakinan bahawa Anwar mampu menjadi perdana menteri yang baik dan akan berjaya membangunkan rakyat dan negara.

Dia turut menolak tuduhan bahawa kritikan terhadap PN membawa maksud dirinya menganggap kepimpinan kerajaan perpaduan, termasuk Anwar dan Zahid, sebagai maksum.

“Saya hanya menyatakan mengapa pemimpin PN daripada Bersatu dan PAS tidak layak menjadi perdana menteri, tanpa menyebut bahawa Anwar atau Zahid adalah pemimpin yang sempurna,” jelasnya.

“Saya tidak ada menyatakan bahawa pemimpin kerajaan perpaduan sekarang khususnya Anwar dan Zahid sebagai pemimpin yang putih bersih seperti malaikat ataupun maksum,” katanya.

Layak atau tidak

ADS

Malah menurut Hassan, dia tidak pernah menarik balik atau memohon maaf atas kritikan yang dilemparkan terhadap Anwar dan Zahid yang dibuat secara terbuka di media sosial mahupun Parlimen.

“Keputusan Lembaga Disiplin PKR untuk tidak mengambil tindakan terhadap saya menunjukkan saya bertanggungjawab atas apa yang saya nyatakan,” katanya.

Justeru, katanya, cabaran Tun Faisal supaya dirinya menilai sama ada Anwar atau Zahid layak memimpin negara ini tidak timbul kerana berkemungkinan dia akan terlibat dalam pertentangan kepentingan atau conflict of interest jika menilai pemimpin parti dan kerajaan sendiri.

“Tugas menilai layak atau tak layak Anwar dan Zahid adalah terletak pada pihak parti pembangkang khususnya PN dan juga rakyat,” katanya.

“Jika PN beranggapan Anwar tidak layak, mereka seharusnya menggunakan ruang Parlimen untuk membuktikannya.

“Saya berharap cabaran saya ini dijawab oleh Tun Faisal dan pemimpin-pemimpin PN lainnya,” kata Hassan.

Tambahnya, Dewan Rakyat adalah medan terbaik untuk memastikan ketelusan dan keadilan dalam menilai kelayakan pemimpin negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS