Polis memanggil empat individu yang berucap pada sidang akhbar baru-baru ini berkaitan isu seorang profesor yang didakwa berkongsi gambar bogel dirinya dengan pelajar, menurut kenyataan Kelab Feminisme Universiti Malaya (UMFC).
UMFC berkata mereka bimbang dengan langkah pihak berkuasa terhadap perhimpunan membangkitkan isu profesor itu sejak awal lagi apabila sejumlah besar anggota polis bersenjata hadir ke sidang akhbar di Universiti Malaya itu.
"UMFC menegaskan bahawa menekan mereka yang membangkitkan isu ini tidak akan menyelesaikan masalah pokok, malah mungkin menghalang mangsa daripada membuat laporan polis terhadap profesor tersebut.
"Lebih membimbangkan, amalan pihak polis menjadikan mangsa kurang berani untuk melaporkan profesor yang melakukan gangguan seksual.
"Jika organisasi dan individu yang menyokong mangsa gangguan seksual boleh dipanggil hari ini, bagaimana mereka boleh percaya bahawa pihak polis tidak akan menyalahgunakan undang-undang dan kuasa terhadap mereka," soal pertubuhan itu pada hantaran di Instagram.
Empat individu itu, menurut UMFC dipanggil polis untuk soal siasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA).
Salah seorang daripada mereka telah memberikan kenyataan minggu lalu manakala tiga lagi, termasuk Presiden UMFC Chin Jes Weng dijadualkan untuk disoal siasat pada pagi Sabtu.
Tiga individu lain yang disiasat ialah jurucakap lulusan sarjana kajian jantina UM, S Indramalar, Wong Xiao You dari Universiti Tunku Abdul Rahman dan ahli exco Persatuan Staf Akademik UM Aznijar Yazid.
Universiti Malaya (UM) telah mengenakan tindakan tahan kerja terhadap pensyarah institusi pengajian awam itu yang didakwa menghantar mesej gambar bogelnya kepada pelajar.
Profesor berkenaan telah digantung tugas selaras dengan Akta Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000.