Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD) menuntut agar sistem auto-accept (terima secara automatik) dalam perkhidmatan e-hailing dihapuskan kerana dianggap merugikan pemandu.
Presiden TPAD, M Nathan, berkata sistem itu juga tidak memberikan kebebasan kepada pemandu e-hailing untuk memilih ride (perjalanan) mengikut keperluan dan keselesaan mereka.
“Ia adalah sistem yang merugikan pemandu dan boleh digantikan dengan banyak cara lain untuk mengambil penumpang tanpa henti iaitu dengan inisiatif complete job and earn RM (siapkan tugasan dan raih wang) sebagai contohnya.
“Manual accept (terima secara manual) juga perlu dilaksanakan tanpa sebarang syarat selain sistem baru (jika diperkenalkan) perlu memberi pilihan kepada pemandu untuk memilih sama ada manual atau auto-accept,” katanya pada sidang media selepas menghantar memorandum tuntutan isu e-hailing dan p-hailing kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) di Putrajaya hari ini.
Terdahulu, Nathan bersama anggota TPAD yang lain turut mengadakan pertemuan hampir dua jam dengan Ketua Setiausaha MOT, Jana Santhiran Muniayan, dan wakil Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di MOT.
Menurut Nathan, isu auto-accept merupakan satu daripada 21 tuntutan utama TPAD terhadap amalan perkhidmatan e-hailing dan p-hailing yang dilihat membebankan pemandu gig di Malaysia dari pelbagai aspek.
Selain itu, TPAD turut menuntut agar perlindungan insurans diperluas kepada pemandu gig sepanjang masa, dan bukan hanya waktu ketika melakukan tugasan, selain dapat melindungi pihak ketiga yang terlibat dalam kemalangan yang disebabkan oleh pemandu atau penghantar.
“TPAD turut mencadangkan agar perkhidmatan e-hailing dan p-hailing memperkenalkan kawasan atau zon amaran bahaya secara automatik dalam aplikasi Google Maps dan Waze dengan amaran pintar bagi meminimumkan risiko perjalanan dan keselamatan pemandu dan penumpang.
“Apa yang diperjuangkan oleh TPAD ini bukan hanya akan memanfaatkan pemandu gig malah penumpang juga. Kami turut cadangkan pemasangan kamera papan pemuka (dash cam) dengan perakam suara.
"Sekiranya berlaku kejadian tidak diingini dan pihak berwajib memerlukan bukti sampingan, ia akan membantu,” katanya.
Ditanya mengenai hasil perbincangan, Nathan berkata MOT memberi jaminan akan memberi maklum balas mengenai isu tuntutan berkenaan dalam tempoh dua minggu selepas mendapatkan pandangan daripada pengendali perkhidmatan p-hailing dan e-hailing.
Selaras dengan keputusan itu, kata Nathan, perhimpunan aman berkaitan tuntutan TPAD yang dijadualkan berlangsung di pekarangan MOT esok dibatalkan serta-merta.
- Bernama