Sekretariat himpunan Rakyat Benci Rasuah tidak menghalang mana-mana parti politik menyertai program mereka pada Sabtu ini walaupun tiada sebarang undangan diberikan kepada mereka.
Jurucakapnya, A Tobey Qi-Sean, bagaimanapun berkata bagi mana-mana parti politik yang berminat menyertai himpunan tersebut, ada syarat yang perlu dipatuhi.
"Kami tak mengundang mana-mana parti politik menyertai himpunan, namun kami juga tidak akan halang ahli-ahli parti politik menyertainya.
"Cuma, kami meletakkan syarat bahawa parti politik yang turut serta tidak dibenarkan memakai baju yang tertera logo parti," katanya kepada Malaysiakini.
Perhimpunan Rakyat Benci Rasuah dijadual berlangsung pada 25 Jan ini adalah susulan perhimpunan Ambang Tahun Baru pimpinan pelajar di Sabah yang membantah ahli politik negeri terbabit didakwa terlibat dalam skandal rasuah.
Sekretariat itu yang mendakwa mewakili 50 organisasi dan 38 individu menuntut tindakan segera terhadap kes rasuah melibatkan ahli politik, siasatan yang telus, dan komitmen daripada semua pemimpin politik termasuk pembangkang untuk menamatkan gejala rasuah di negara ini.
Ia berlaku selepas Malaysiakini mendedahkan tentang beberapa Adun Sabah yang didakwa membincangkan rasuah untuk mendapatkan lesen mencari gali, yang turut membabitkan Ketua Menteri Hajiji Noor.
Hajiji dan lain-lain yang dikaitkan dengan skandal itu telah menafikan sebarang salah laku, mendakwa ia sebagai konspirasi untuk menggugat kestabilan kerajaan negeri menjelang pilihan raya negeri.
Tobey juga mengesahkan sehingga kini tiada parti politik menghubungi sekretariat berkenaan untuk mengesahkan kehadiran.
"Parti Sosialis Malaysia dan Muda hanya menandatangani kenyataan sebagai tanda sokongan.
"Sehingga kini, belum ada sebarang perbincangan mobilisasi ahli-ahli parti ini," katanya.