PAS sedia mengemukakan nama calon pengganti bagi mengisi jawatan Bendahari Agung PN, selepas penyandangnya Ahmad Samsuri Mokhtar berundur dari posisi itu baru-baru ini.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya setakat ini belum mengemukakan sebarang nama kerana menunggu PN memanggil mesyuarat majlis tertinggi parti berkenaan.
"Belum (kemuka nama calon). Kita (PAS) menanti mesyuarat Majlis Tertinggi PN," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Ditanya sama ada PAS sudah mempunyai calon berkenaan atau sebaliknya, Tuan Ibrahim berkata: "Calon tak ada masalah."
Bulan lalu Ahmad Samsuri mengumumkan peletakan jawatan sebagai Bendahari Agung PN.
Pengumuman mengejut itu dibuat sehari selepas PN mengumumkan barisan kepimpinan utamanya yang menyaksikan bekas Menteri Besar Selangor, Azmin Ali, dilantik menjadi setiausaha agung.
Pelantikan Azmin itu sekali gus mengetepikan cadangan Pemuda PAS agar setiausaha agung mereka, Takiyuddin Hassan, dilantik sebagai Setiausaha Agung PN yang dikosongkan Hamzah Zainudin.
Hamzah kini dipilih sebagai Timbalan Presiden PN.
Susulan peletakan jawatan tersebut Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu sehingga hari ini tidak memberikan alasan lanjut berhubung tindakannya itu.
Sehari selepas pengumuman itu dibuat dia memberitahu, kenyataan rasmi akan dikeluarkan apabila tiba masa yang dianggap sesuai dan pimpinan sedang menguruskan perkara tersebut.
Ahmad Samsuri turut berkata orang ramai boleh membuat tafsiran mengenai keputusannya meletakkan jawatan itu dengan membaca petikan kata-kata legenda bola keranjang AS, Kareem Abdul-Jabbar.
Pada 12 Dis lalu, Ahmad Samsuri memuat naik hantaran di media sosial dengan memetik kata-kata Kareem: "Saya cuba melakukan perkara yang betul pada masa yang sesuai. Ia mungkin hanya perkara kecil, tetapi pada kebiasaannya akan membezakan antara menang dan kalah".