Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian barang kemas bernilai kira-kira RM237,000 milik seorang pensyarah perubatan sebuah institusi pengajian tinggi di Terengganu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata suspek yang berumur 31 tahun itu ditahan di Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu, kira-kira jam 3 pagi semalam.
Katanya siasatan mendapati suspek yang bekerja sebagai peniaga minyak wangi itu merupakan adik angkat kepada suami mangsa dan dia mempunyai akses penuh ke kediaman berkenaan pada bila-bila masa.
"Kehilangan barang kemas itu dipercayai berlaku sejak Nov tahun lepas tetapi hanya disedari sepenuhnya pada 17 Jan baru-baru ini selepas usaha pencarian oleh mangsa bersama ahli keluarganya gagal.
"Susulan itu, mangsa yang berusia 49 tahun membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada petang Sabtu lalu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Azli berkata melalui siasatan yang dijalankan, suspek mengaku telah mengambil dan menjual barang kemas berkenaan di sebuah kedai emas di Kuala Terengganu.
Menurutnya, polis kemudian membawa suspek ke kedai emas terbabit dan merampas buku resit serta seketul logam berwarna kekuningan yang dipercayai ketulan emas.
"Pihak polis telah berjaya menyelesaikan kes kecurian itu dalam tempoh kurang 24 jam.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda, dan bagi kesalahan kedua boleh dihukum penjara serta dikenakan denda atau sebat," katanya.
- Bernama