Kerajaan tidak terburu-buru mengejar status negara maju sebaliknya pertumbuhan ekonomi yang semakin baik menjadikan Malaysia kini berada di landasan tepat untuk mencapai kedudukan itu menjelang tempoh 2028 hingga 2029.
Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli berkata mengikut unjuran pertumbuhan sekarang, negara kini berada di persimpangan baik kerana menjadi tumpuan pelabur asing dan dilihat sebagai pintu masuk strategik ke ASEAN.
"Saya tak rasa dasar kerajaan sekarang ini untuk mengejar menjadi negara maju. Cuma pertumbuhan ekonomi kebelakangan ini yang baik dan jika berterusan untuk beberapa tahun akan datang, itu akan menjadikan kita negara maju secara automatik," katanya kepada pemberita selepas sesi libat urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bersama kerajaan Kedah di Alor Setar hari ini.
Beliau mengulas kenyataan penganalisis ekonomi Dr Mohd Azwardi Md Isa baru-baru ini yang dilaporkan berkata negara tidak perlu terburu-buru mengejar status negara maju sebelum berjaya mengimbangi beberapa faktor penting yang boleh dijadikan kayu pengukur sebenar.
Rafizi berkata Malaysia juga ialah negara dagang terbuka yang menjadikan kita sangat terpengaruh kepada semua perkara yang berlaku di seluruh dunia.
"Misalnya, pertukaran kepimpinan di Rumah Putih ia ada kesan besar kepada kita ... .Kita mesti sedia maklum bahawa apa-apa gangguan di seluruh dunia itu akan ada kesan kepada negara kita.
"Sebab itulah tumpuan Kementerian Ekonomi bukanlah sangat nak jadi negara maju, tapi kita nak bina satu infrastruktur masyarakat dan negara yang betul-betul kukuh supaya apa yang berlaku di luar, kesannya kita dapat tangani dengan baik," katanya.
Sementara itu ketika berucap pada sesi libat urus berkenaan, Rafizi menekankan Kedah satu daripada negeri yang akan terus menjadi keutamaan kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata kerajaan dengan jelas menyatakan tumpuan diberikan kepada enam negeri untuk memastikan pengagihan peruntukan yang lebih baik iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
"Kerajaan Persekutuan terus komited bagi membawa kemakmuran kepada masyarakat di negeri Kedah, termasuklah bagi meningkatkan ketersambungan antara luar bandar dengan bandar," katanya.
Rafizi berkata kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan perlu sejajar dalam usaha merapatkan jurang ketidakseimbangan ekonomi antara negeri yang melebar.
Sementara itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam ucapan balasnya berkata beliau percaya sesi libat urus itu adalah pendekatan terbaik dalam merakyatkan proses merencana perancangan pembangunan bagi memastikan ia bersifat inklusif dengan mengambil kira pandangan pelbagai kelompok yang lebih luas.
"Meskipun Kedah telah menunjukkan pencapaian pelaburan memberangsangkan sejak beberapa tahun lepas, pencapaian ini perlu dipertingkatkan ke tahap lebih baik pada masa akan datang,” katanya.
Kerajaan Kedah juga berhasrat meningkatkan peratusan sumbangan negeri kepada Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak 10.0 peratus agar ia seimbang dan setaraf dengan negeri-negeri maju.
Muhammad Sanusi turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan di atas kesudian melibatkan kerajaan negeri dalam merencana pembangunan negara, khususnya melalui sesi libat urus berkenaan.
- Bernama