Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Taska terlibat kes bayi mati sudah diarah tutup terus
Diterbitkan:  Jan 20, 2025 5:25 PM
Dikemaskini: 9:25 AM

Sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat yang didakwa terbabit dalam kes kematian bayi lelaki berusia empat bulan pada 3 Jan lalu telah diarahkan tutup sepenuhnya oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari, berkata arahan itu dibuat berikutan operator Taska berkenaan akan menghadapi pendakwaan mengikut Akta Kanak-Kanak 2011.

Katanya, ibu bapa yang mendapatkan khidmat di Taska berkenaan juga telah diminta oleh JKM untuk menghantar anak masing-masing ke Taska lain.

"Mungkin ada ibu bapa beranggapan (penutupan) ini bagi tempoh sementara sahaja, tetapi menurut JKM, ia ditutup sepenuhnya.

"Difahamkan, kertas siasatan hampir selesai dan pendakwaan akan dilakukan dalam masa terdekat.

"Taska ini kekal ditutup kerana tidak berdaftar dan ada kes membabitkan Akta Kanak-Kanak," katanya ketika ditemui selepas majlis Himpunan Wanita Selangor yang dirasmikan Menteri Besar Amirudin Shari di Shah Alam hari ini.

Mengulas lanjut, Anfaal berkata dalam lawatan awalnya ke rumah ibu bapa bayi terbabit, dia dimaklumkan terdapat 25 kanak-kanak yang berada di Taska berkenaan yang dijaga oleh dua pengasuh.

Katanya keadaan itu tidak menepati syarat ditetapkan JKM iaitu seorang penjaga bagi lima orang bayi berusia bawah 12 bulan.

Ketika ditanya adakah benar Taska berkenaan dalam proses pendaftaran dengan JKM, Anfaal berkata, semakan mendapati ia belum dimulakan.

"Malah, dua pengasuh berkenaan juga tidak pernah menduduki latihan yang ditetapkan JKM untuk mereka layak menjadi pengasuh bertauliah," katanya.

Media sebelum ini melaporkan sebuah Taska diarahkan ditutup pada 7 Jan lalu apabila JKM hadir membuat pemeriksaan ekoran insiden yang melibatkan nyawa salah seorang kanak-kanak yang diletakkan di situ.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi dalam kenyataan dua hari selepas itu mengesahkan terdapat unsur kecuaian yang dipercayai menyebabkan kematian bayi lelaki.

Katanya polis juga membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS