Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih 70% pemegang pensijilan halal didominasi syarikat bukan bumiputera

Halal Development Corporation Bhd (HDC) memaklumkan lebih 70 peratus daripada pemegang pensijilan halal di Malaysia didominasi syarikat bukan bumiputera.

Pengerusi HDC Khairul Azwan Harun berkata perkara itu tidak seharusnya dipandang sebagai masalah memandangkan permohonan yang dibuat syarikat berkenaan menepati piawaian ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Secara tradisinya, syarikat bukan bumiputera memang mendominasi sektor pembuatan makanan ini, namun ia bukan satu masalah kerana mereka mematuhi standard ditetapkan oleh JAKIM.

“Untuk makluman, permohonan pensijilan halal penuh hanya boleh dibuat selepas sesebuah syarikat itu mendapat pengiktirafan daripada Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), Pensijilan Good Manufacturing Practise (GMP) dan Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Multaqa Pegawai Masjid peringkat Parlimen Pasir Salak di Dewan Kampung Pulau Gajah di Pasir Salak hari ini.

Pada 16 Jan lepas, Ketua Pegawai Eksekutif HDC Hairol Ariffein Sahari memaklumkan setakat ini hanya 9,162 syarikat dalam pelbagai segmen yang mendapat pengiktirafan pensijilan halal dari pihak JAKIM.

Mengulas lanjut perkara berkenaan, Hairol Ariffein berkata daripada jumlah itu, hanya 1,600 merupakan pengeksport halal yang disifatkan sebagai angka masih rendah berbanding permintaan pasaran halal global yang kini melebihi US$3 trilion.

Sementara itu, Khairul Azwan berkata pihaknya akan melipatgandakan usaha bagi membantu syarikat bumiputera yang berpotensi untuk mendapatkan pensijilan sama, sekali gus meluaskan pasaran produk mereka ke peringkat antarabangsa.

“Pihak HDC sendiri akan bantu perkasa dan mengupayakan syarikat-syarikat tempatan untuk memohon pensijilan halal ini melalui pelbagai kaedah yang bersesuaian,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS