MCA Perak mengecam pemimpin kerajaan negeri, khususnya daripada DAP, susulan peluasan sekatan jualan arak di Ipoh.
Ketua penerangannya Chung Kok Heung mempersoalkan kenapa pemimpin DAP dan PKR menafikan sedangkan ia disahkan oleh Datuk Bandar Rumaizi Baharin.
“Berapa lama lagi DAP dan PKR akan terus menipu rakyat?
“Adakah ini kejahilan atau cubaan menyembunyikan isu yang disengajakan untuk memperbodohkan orang ramai?" soal kata Chung.
Chung mendakwa seorang ahli Majlis Bandar Raya Ipoh (MBI) daripada DAP dan exco kerajaan negeri daripada PKR Sandrea Ng berkata belum ada sebarang keputusan berkaitan perkara itu.
‘Setuju secara prinsip’ di Ulu Chepor
Kelmarin, Rumaizi Baharin berkata, MBI meluluskan dasar untuk membuat kajian terhadap tuntutan penduduk dari kawasan majoriti Muslim sebelum larangan penjualan minuman keras dikuatkuasakan.
Menurutnya, sekitar tahun 2020 dan 2021, larangan itu dilaksanakan di kawasan gugusan Manjoi susulan bantahan besar-besaran oleh penduduk setempat.
Dia mendedahkan kini terdapat tuntutan sama untuk kawasan di Ulu Chepor kerana penduduknya 100 peratus penduduk Melayu Islam.
“Secara prinsipnya kita setuju," dia dipetik sebagai berkata kepada pemberita.
Bagaimanapun, Rumaizi berkata, tuntutan daripada Tambun, Rapat Setia dan Sungai Rokam masih dalam peringkat kajian.
Dia juga tidak menolak kemungkinan akan membuat sesi pendengaran awam berkaitan isu itu.
Dasar mesti telus
Dalam kenyataan berbahasa Mandarin hari ini, Chung berkata sebarang perubahan dasar berkaitan penjualan arak mesti melalui perbincangan telus dan adil serta mempertimbangkan hak semua kumpulan etnik.
"Kita mesti berwaspada. Manjoi telah melaksanakan larangan alkohol.
“Adakah kawasan lain akan mengikutinya esok?” soalnya.
Dia juga mendesak DAP berhenti bermain “helah politik”, melindungi hak orang bukan Islam serta memberi penjelasan kepada orang ramai.