Kerajaan Terengganu berkata, semua pihak perlu rasional berdepan dengan sebarang provokasi dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan mengikut undang-undang.
Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim, berkata sebagai orang awam, tindakan menghukum bukanlah terletak pada pangan mereka.
Sebaliknya, kata Maliaman, pihak berkuasa akan mengambil tugas tersebut berlandaskan peraturan.
"Jadi kita (kerajaan negeri) berharap semua orang, apabila berlaku kes-kes seperti itu, sepatutnya cepat hubungi polis, atau kalau boleh pegang, pegang - tapi jangan menghukum," katanya seperti dipetik Harian Metro di Kuala Terengganu hari ini.
Terdahulu Adun Ajil itu melawat Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, yang dibelasah sekumpulan lelaki di Pasar Tani Padang Astaka di Kemaman pada 17 Jan lalu. Ahmad Nor Al Faizan - juga dikenali sebagai Paijang oleh rakannya - mengalami kecederaan akibat kejadian tersebut.
Media melaporkan pada awalnya mangsa dirawat di Hospital Kemaman pada Jumaat sebelum dipindahkan ke Kuala Terengganu.
Ahmad Nor Al Faizan merupakan orang kurang upaya (OKU) kategori mental.
Insiden itu tular dan menyentuh perasaan ramai orang kerana menampakkan bagaimana Ahmad Nor Al Faizan dipukul beramai-ramai, malah pada suatu ketika mukanya ditendang sejurus selepas meminta air untuk mengurangkan kesakitan pada matanya.
Beri ruang untuk keadilan
Polis Terengganu setakat ini sudah menahan lima lelaki berusia antara 18 hingga 60 tahun untuk membantu siasatan.
Kata Maliaman, kejadian di pasar tani itu berpunca daripada provokasi.
Pada masa sama dia menjelaskan insiden tersebut memang menyayat hati dan turut menyebabkan Ahmad Nor Al-Faizan serta keluarganya mengalami trauma.
Maliaman juga mendakwa, lelaki terbabit kelihatan gembira apabila diziarahi rakan lamanya dan mampu menceritakan apa yang berlaku pada Jumaat lalu.
Namun, katanya, mereka terpaksa mengalihkan perhatian kepada perkara lain untuk mengelakkan dia terus mengalami tekanan.
"Saya melihat ada lagi lebam pada mata, tangan dan banyak kesan-kesan akibat kejadian itu," katanya.
Sementara itu Sinar Harian pula memetik Maliaman sebagai berkata, kerajaan negeri kesal kerana ada pihak membuat tuduhan dengan menganggap Terengganu bukan lagi destinasi yang selamat untuk dikunjungi.
Apa yang berlaku di Kemaman itu, tambahanya, terjadi apabila ada segelintir orang yang tidak mampu mengawal emosi dalam keadaan marah.
Pun begitu, kata Maliaman, tidak semua masyarakat Terengganu berperwatakan sebegitu.
"Apa yang berlaku ini dalam tindakan kerajaan negeri dan kita akan mengadakan mesyuarat khas berhubung kes itu.
"Mengenai kejadian menimpa Paijang, biarlah pihak berkuasa yang menjalankan siasatan dan beri ruang kes ini mendapat keadilan," katanya.