Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Israel bebaskan 90 tahanan Palestin di bawah perjanjian gencatan senjata

Israel membebaskan 90 tahanan Palestin awal pagi Isnin dari Penjara Tentera Ofer di Tebing Barat yang diduduki, sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran tawanan dengan Hamas, lapor Agensi Anadolu (AA).

Rakyat Palestin berkumpul di bandar Beitunia, berhampiran Ramallah di Tebing Barat untuk menyambut mereka.

Askar Israel bertindak melepaskan gas pemedih mata dan bom bunyi secara berselang-seli ke arah orang ramai yang menggunakan api untuk menghangatkan diri dalam cuaca sejuk.

Ketika hampir 1 pagi waktu tempatan, sejumlah besar kenderaan tentera dan jentolak Israel menyerbu Beitunia. Selepas melepaskan gas pemedih mata dan bom bunyi, kenderaan tentera mula menghalau rakyat Palestin keluar dari kawasan itu.

Tidak lama selepas serbuan di Beitunia, sebuah bas yang membawa tahanan Palestin di bawah perlindungan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) berlepas dari Penjara Tentera Ofer.

Bas itu bergerak dari Beitunia menuju ke Dataran Manara di Ramallah, tempat tahanan Palestin diserahkan.

Pejabat Media Tahanan Palestin mengeluarkan kenyataan bahawa semasa proses semakan nama tahanan yang dibebaskan, didapati seorang tahanan wanita tidak termasuk dalam senarai itu.

Susulan itu, pasukan teknikal berhubung dengan perantara dan Palang Merah untuk memberi tekanan kepada Israel supaya mematuhi senarai tawanan yang telah dipersetujui.

Saluran 12 Israel kemudian melaporkan bahawa isu itu telah diselesaikan dan tahanan telah dibebaskan.

Daripada 90 tahanan yang dibebaskan, 69 adalah wanita, lapan kanak-kanak lelaki dan 12 lelaki yang dijatuhkan hukuman atas kesalahan kecil.

Media Israel melaporkan bahawa 78 daripada tahanan yang dibebaskan berasal dari Tebing Barat yang diduduki, manakala 12 lagi berasal dari Baitulmaqdis Timur.

Aktiviti di hadapan penjara meningkatkan lagi keterujaan orang ramai yang menanti.

Tentera Israel turut menggunakan dron untuk melancarkan gas pemedih mata ke arah rakyat Palestin yang menunggu berhampiran penjara untuk menyambut pembebasan tahanan.

Jurucakap tentera Israel, Avichay Adraee memberi amaran kepada rakyat Palestin supaya tidak menyertai sebarang perarakan atau sambutan sepanjang atau selepas proses pembebasan tahanan, dengan ancaman campur tangan jika berbuat demikian.

Menurut perjanjian antara Israel dan kumpulan Palestin Hamas, 90 tahanan Palestin dibebaskan sebagai pertukaran kepada tiga tawanan wanita Israel yang telah dibebaskan sehari sebelumnya.

Sayap ketenteraan Hamas, Briged Izz ad-Din al-Qassam menyerahkan tiga tawanan wanita Israel kepada pasukan Palang Merah pada sebelah malam, menandakan fasa pertama gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tawanan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS