Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, hari ini mengemukakan beberapa dalil dan mencabar ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, untuk mengakui bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi, bersama kepimpinan kerajaan campuran Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN), tidak layak memerintah negara.
Dalam kenyataan yang disiarkan di Facebook, Tun Faisal menyifatkan tindakan Hassan yang mempertahankan kerajaan PH-BN sebagai tidak rasional, terutamanya selepas dia dipanggil oleh Lembaga Disiplin PKR pada November tahun lalu.
“Hassan sepatutnya mengakui bahawa salah satu sebab kenapa pengundi PH mengundi Anwar dan calon PH adalah kerana janji-janji palsu yang mereka buat.
“Janji turunkan harga minyak, hapuskan PTPTN dan pendidikan percuma, turunkan tarif elektrik, turunkan kos sara hidup, naikkan nilai ringgit, hapuskan tol, janji-janji reformasi institusi, janji-janji hapuskan akta-akta zalim, janji kebebasan bersuara, janji tiada lantikan politik dalam agensi dan syarikat kerajaan, janji semua projek ditawarkan melalui tender terbuka dan pelbagai janji lagi, namun hari ini terbukti Anwar dan PH telah mengkhianati pengundi dengan kegagalan menunaikan janji-janji yang dibuat.
“Malah lebih teruk lagi, bukan sahaja mereka gagal mengotakan janji, mereka melakukan lebih teruk berbanding PM-PM dan kerajaan sebelum ini misalnya dalam hal sekatan bersuara menggunakan Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Kanun Keseksaan, memadamkan akaun media sosial dan hantaran pemimpin pembangkang dan rakyat yang mengkritik mereka, menarik subsidi yang mereka katakan hak rakyat.
“Malah janji hendak penjarakan Zahid dan bicarakan kes kapal tempur pesisir (LCS) pun tidak mampu mereka laksanakan. Sebaliknya kes LCS disenyapkan dan Zahid pula dilepaskan tanpa membebaskan (DNAA) walaupun ada 47 pertuduhan prima facie kes rasuah salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram,” katanya.
Selain itu, kata bekas ahli Umno itu, sebahagian besar pemimpin PH/BN telah gagal, dengan menamakan menteri kewangan yang gagal memulihkan ekonomi, menteri pertanian yang gagal memastikan kestabilan bekalan beras, serta menteri ekonomi yang gagal menawarkan penyelesaian efektif.
“Prestasi mereka mengecewakan, malah mendapat gred negatif daripada penyokong PH sendiri,” katanya.
Tun Faisal turut membangkitkan isu skandal titah adendum yang didakwanya disembunyikan oleh Anwar dan menteri kabinet lain selama setahun. Hal ini, menurutnya, menunjukkan penderhakaan mereka terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Perlembagaan Persekutuan.
“Adakah Hassan masih mahu mengatakan bahawa pemimpin kerajaan ini layak memerintah? Hakikatnya, mereka telah gagal menjaga integriti, moral, dan amanah rakyat,” katanya.