Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saya tak pengaruh lembaga pengarah 1MDB melalui telefon - Najib

Bekas perdana menteri Najib Razak menolak dakwaan pihak pendakwaan bahawa dia membuat panggilan telefon untuk mempengaruhi 1MDB bagi menceburi usaha sama dengan Petrosaudi International (PSI) pada 2009.

Bekas menteri kewangan itu memberitahu Mahkamah Tinggi di Putrajaya petang ini mengenai perbualan telefonnya dengan pengerusi 1MDB ketika itu Mohd Bakke Salleh semasa mesyuarat lembaga pengarah pada 29 Sept tahun itu.

Semasa perbicaraan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram RM2.27 bilion hari ini terhadapnya, Najib mengulangi keterangannya sebelum ini mengenai ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low) menghubunginya, sebelum telefon itu diserahkan kepada Bakke pada mesyuarat berkenaan.

“Saya tidak mempengaruhi fikirannya (Bakke), hanya menunjukkan bahawa ini (usaha sama yang dicadangkan antara 1MDB dan PSI) adalah inisiatif strategik (antara Malaysia dan Arab Saudi).

“Ahli lembaga tidak terpengaruh dengan panggilan telefon saya, Bakke mempengerusikan (mesyuarat) dan ahli lembaga lain tidak tahu mengenai panggilan telefon itu.

"Panggilan telefon tidak mempengaruhi keputusan lembaga pengarah (untuk memengadakan usaha sama itu)," jawab Najib semasa pemeriksaan balas oleh timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib.

Tertuduh tidak bersetuju dengan dakwaan DPP bahawa dia cuba mempengaruhi keputusan lembaga pengarah untuk terlibat dalam usaha sama itu.

Mohd Bakke Salleh

"Saya tidak mahu mengarahkan dia (Bakke) atau mempengaruhinya secara tidak wajar, saya hanya mahu dia melihatnya (usaha sama itu sebagai inisiatif strategik)," kata Najib sambil menambah bahawa adalah menjadi tanggungjawab lembaga pengarah dan pengurusan untuk meneliti kewajaran usaha sama yang dicadangkan.

Berikutan 1MDB menyertai usaha sama dengan PSI, kira-kira AS$700 juta daripada wang 1MDB telah digelapkan kepada entiti luar pesisir Good Star Limited, yang didakwa dikaitkan dengan Jho Low.

Bakke sebelum ini memberi keterangan bahawa dia mengesyaki sesuatu yang tidak kena berhubung pengalihan AS$700 juta, dan bahawa Najib tidak menjawab khidmat pesanan ringkasnya kerana disyaki melakukan salah laku di 1MDB.

Bakke juga memberi keterangan dia kemudian meletak jawatan sebagai pengerusi 1MDB pada Oktober 2009.

Sementara itu semasa perbicaraan hari ini, Akram berkata Najib seolah-olah banyak membuat andaian perkara berkaitan 1MDB semasa menjadi perdana menteri antara 2009 dan 2018.

Pendakwa raya menegaskan bahawa keterangan Najib kelihatan penuh dengan andaian seperti bahawa Jho Low akan memberi taklimat kepada lembaga 1MDB mengenai kerjasama prospektif walaupun dia itu tidak mempunyai jawatan rasmi dalam 1MDB.

Akram berkata andaian lain yang didakwa dibuat oleh Najib ialah lembaga pengarah 1MDB akan membuat keputusan termaklum selepas perdana menteri ketika itu mengadakan panggilan telefon dengan Bakke pada mesyuarat lembaga berkenaan.

Akram: Anda tak pernah peduli untuk semak.

Najib: Bukan saya, tetapi terpulang kepada lembaga pengarah (1MDB) untuk membuat keputusan, mereka mempunyai orang yang boleh menyemak, seperti (firma guaman) Wong and Partners, saya tidak boleh menyemak segala-galanya.

Akram: Bukankah sepatutnya ada lebih banyak tindakan daripada anda selain meminta Bakke membuat keputusan?

Najib: Lembaga itu terdiri daripada ahli yang sangat profesional, saya tidak sangka panggilan telefon itu akan membawa kepada apa-apa yang memudaratkan kepentingan 1MDB dan negara. Oleh itu, saya mahu mereka (lembaga) mempertimbangkannya, tetapi usaha wajar dilakukan.

Pada 30 Okt tahun lepas, mahkamah jenayah memerintahkan Najib membela diri atas empat salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion dana daripada 1MDB.

Hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie (boleh bertanggungjawab) terhadap Najib berhubung syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) itu.

Hakim memutuskan Najib perlu menjawab pertuduhan berikutan kekuatan pelbagai 50 keterangan saksi semasa peringkat prosiding pendakwaan yang berlangsung enam tahun sejak perbicaraan bermula pada 2019. Tertuduh pertama kali didakwa pada 2018.

Najib sedang menjalani hukuman penjara enam tahun atas kes salah guna kuasa berasingan membabitkan RM42 juta dana daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS