Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penganjur himpunan 'terkejut' syarat diminta polis
Diterbitkan:  Jan 20, 2025 3:03 PM
Dikemaskini: 7:03 AM

Sekretariat Rakyat Benci Rasuah melahirkan rasa terkejut terhadap arahan polis untuk mendapatkan persetujuan daripada pemilik premis yang bakal menjadi tempat mereka mengadakan himpunan pada Sabtu ini.

Penasihat undang-undang sekretariat itu, Zaid Malek, berkata syarat tambahan yang dikenakan pihak berkuasa ke atas mereka adalah tidak mempunyai asas undang-undang kerana protes tersebut sepatutnya dijalankan di kawasan awam.

Katanya, pihak polis juga sepatutnya mengetahui hakikat itu kerana notis pemberitahuan sudah dihantar pada 15 Jan lalu.

"Perhimpunan itu akan bermula di luar Sogo di Kuala Lumpur dan menuju ke Dataran Merdeka.

"Ini semua adalah tempat awam yang 'berhak' digunakan oleh orang seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 3 Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Pengarah Lawyers for Liberty itu lagi, penganjur perhimpunan pada 25 Jan itu sudah memenuhi syarat yang dikenakan pihak berkuasa mengikut PAA iaitu memaklumkan rancangan mereka pada 15 Jan.

Namun, katanya, dalam maklum balas polis pada 17 Jan, penganjur diminta untuk mendapatkan persetujuan daripada pemilik premis berkaitan sebelum boleh mengadakan perhimpunan.

Katanya PAA digubal untuk memudahkan rakyat untuk berhimpun secara aman seperti hak mereka yang dijamin perlembagaan dan pihak berkuasa tidak seharusnya menghalang usaha sedemikian.

Dalam kenyataan sama Zaid juga menegaskan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sepatutnya sedar kepentingan protes aman diberikan ruang dala sebuah masyarakat demokratik.

"Perdana menteri sendiri adalah subjek dan mengetuai banyak perhimpunan awam yang besar," tambahnya.

Zaid menegaskan sebuah kerajaan demokrasi tidak akan dihormati jika mereka menghalang atau menghentikan bantahan terhadap rasuah.

Perhimpunan Rakyat Benci Rasuah pada 25 Jan adalah susulan perhimpunan Ambang Tahun Baru pimpinan pelajar di Sabah yang membantah ahli politik negeri terbabit didakwa terlibat dalam skandal rasuah.

Ia berlaku selepas Malaysiakini mendedahkan tentang beberapa Adun Sabah yang didakwa membincangkan rasuah untuk mendapatkan lesen mencari gali, yang turut membabitkan Ketua Menteri Hajiji Noor.

Hajiji dan lain-lain yang dikaitkan dengan skandal itu telah menafikan sebarang salah laku, mendakwa ia sebagai konspirasi untuk menggugat kestabilan kerajaan negeri menjelang pilihan raya negeri.

[Baca laporan asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS