Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: Saya tidak pernah tekan, arah KPMG lulus audit 1MDB

BICARA 1MDB l Bekas perdana menteri Najib Razak memaklumkan Mahkamah Tinggi yang bersidang di Putrajaya bahawa dirinya tidak pernah menekan atau mengarahkan firma audit antarabangsa KPMG untuk meluluskan akaun 1MDB bagi tahun kewangan 2013.

Najib yang juga adalah bekas menteri kewangan, berkata, isu tersebut berpunca daripada perselisihan antara pengurusan 1MDB dengan KPMG berhubung jika firma audit itu boleh meluluskan akaun tersebut.

Najib menolak cadangan Timbalan Pendakwa Raya T Deepa Nair berhubung kenyataan bekas rakan pengurusan KPMG, Johan Idris, yang mendakwa dia diugut supaya meluluskan akaun tersebut sebelum 31 Disember 2013.

Deepa merujuk kepada dakwaan pertemuan antara pegawai KPMG, termasuk Johan, pegawai 1MDB, dan Najib di rumah bekas perdana menteri itu di Langgak Duta, Kuala Lumpur, pada 15 Disember 2013.

Deepa: Pada tarikh ini (15 Disember 2013), selepas Johan mengatakan tidak boleh luskan akaun 2013, Datuk Seri arahkan KPMG untuk luluskannya sebelum 31 Disember.

Najib: Saya tidak boleh arahkan juruaudit. Walaupun saya mahu audit diselesaikan, saya tidak boleh arahkan juruaudit, itu salah.

Kalau (secara hipotesis) saya beri arahan pun, KPMG tidak sepatutnya mengikut arahan saya. Mereka syarikat audit yang terkemuka dan bebas, dan KPMG salah satu firma audit paling bereputasi di dunia.

Najib turut memberi keterangan bahawa pasukan pengurusan 1MDB dan KPMG berselisih pendapat dalam mesyuarat tersebut mengenai dokumen berkaitan pelaburan luar negara 1MDB melalui Brazen Sky.

Najib menolak cadangan Deepa bahawa dia tidak mahu 1MDB berkongsi dokumen yang diminta oleh KPMG kerana dana tersebut didakwa digunakan untuk kepentingan Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Tidak, tidak, tidak. Salah, sepenuhnya salah. Perbezaan asasnya adalah KPMG kata mereka perlukan dokumen tambahan, tetapi (pengurusan 1MDB) kata mereka (KPMG) minta macam-macam dokumen, dan apa yang mereka (KPMG) miliki sudah mencukupi.

"Oleh itu, terdapat perbezaan pendapat antara pengurusan (1MDB) dan KPMG, itu sahaja yang berlaku, tiada kaitan dengan pembiayaan (untuk Umno dan BN)," kata bekas presiden Umno dan pengerusi BN itu.

Sebelum ini, dalam perbicaraan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan RM2.27 bilion dana 1MDB, Najib memberi keterangan bahawa pengurusan 1MDB akhirnya menamatkan perkhidmatan audit KPMG dan beralih kepada firma audit Deloitte, pada tahun 2014.

Najib sebelum ini menafikan dia pernah menekan 1MDB untuk memecat KPMG.

Sementara itu, apabila Deepa menyoal Najib mengapa dia mengadakan pertemuan dengan pegawai 1MDB di rumah perdana menteri ketika itu dan bukannya di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, tertuduh menjawab bahawa ia bukan sesuatu yang luar biasa kerana ini bergantung kepada keadaan.

Najib: Ini tidak penting kerana saya banyak adakan mesyuarat, termasuk Belanjawan, di rumah saya. Apabila kamu sangat sibuk, dan ada peluang untuk berjumpa, walaupun mesyuarat rasmi saya adakan pada waktu malam, terutama persediaan Belanjawan (sebelum dibentang di Parlimen), mesyuarat lewat malam di rumah saya, tidak ada yang luar biasa.

Deepa: Saya cadangkan kepada Datuk Seri bahawa adalah tidak wajar untuk mengadakan mesyuarat (rasmi) di kediaman dan bukannya di pejabat.

Najib: Saya tukar-tukar di Seri Perdana dan kadang kala di rumah, bergantung. Saya banyak bermesyuarat di rumah.

Bekas menteri kewangan itu juga menolak cadangan Deepa bahawa Low menasihatinya tentang apa yang perlu dikatakan apabila berjumpa pegawai KPMG.

"Saya tidak mengikut arahan Jho Low, seperti yang kamu cuba cadangkan itu,” katanya.

Pada 30 Oktober, mahkamah jenayah mengarahkan Najib untuk membela diri atas empat tuduhan salah guna kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.27 bilion dana 1MDB.

Hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib berdasarkan keterangan 50 saksi semasa peringkat pendakwaan yang berlangsung selama enam tahun sejak perbicaraan bermula pada 2019.

Najib pertama kali didakwa pada tahun 2018 dan sedang menjalani hukuman penjara enam tahun atas kes salah guna kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Najib diwakili oleh peguam Tania Scivetti.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS