Pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe menegaskan kedudukan parti itu sebagai sebahagian daripada kerajaan Sabah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), di tengah-tengah perbincangan berterusan dalam kalangan komponen Pakatan Harapan (PH) negeri untuk menangani perkembangan politik semasa.
Menurut Daily Express, Phoong mendedahkan perkara itu dibincangkan semasa mesyuarat 12 Jan yang melibatkan pemimpin DAP Sabah, PKR, Amanah dan Upko.
“Kita perlu berhati-hati apabila membuat keputusan kerana akan ada implikasi. Adalah penting untuk mengekalkan perpaduan PH sebelum menangani perkara lain,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Biasa 2025 Pemuda DAP Sabah dan Wanita DAP Sabah.
Adun Luyang itu berkata walaupun DAP Sabah mempunyai autonomi dalam membuat keputusan tanpa memerlukan kelulusan daripada setiausaha agung parti itu Anthony Loke, pertimbangan mesti diberikan kepada pendirian PH khususnya pendirian PKR untuk menyokong kerajaan Sabah sehingga tamat penggal dan bekerjasama dengan GRS.
“Bagaimana saya boleh kata saya mahu tarik diri dan pada masa sama PKR kekal dalam kerajaan? Kami mempunyai tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan orang ramai mahu kami berada dalam parti pemerintah,” kata Phoong merujuk kepada pilihan raya umum ke-14 2022.
Dia berkata untuk lebih memahami sentimen orang ramai, DAP Sabah sedang mengadakan lawatan bertemu pengundi dan mengumpul maklum balas.
“Kita kena jumpa rakyat, kita kena kumpul pandangan dan idea daripada rakyat,” kata Menteri Perindustrian dan Usahawan Sabah itu yang turut mengesahkan kedudukannya dalam kerajaan negeri.
Dia berkata setakat ini jelajah itu meliputi Lahad Datu, Keningau, Tenom dan Jalan Gaya di Kota Kinabalu, dan destinasi seterusnya termasuk Sandakan, Tawau dan Papar sebelum berakhir di Keningau.
“Setiausaha parti telah mengamanahkan saya dengan mandat untuk membuat keputusan berhubung kedudukan kami,” kata Phoong.
Ditanya mengenai pendirian DAP Sabah mengenai rasuah dan bekerjasama dengan mereka yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah, Phoong dilaporkan berkata parti itu akan terus menilai hala tuju masa depan mereka berdasarkan hasil siasatan dan sentimen awam.
“Kita perlu lihat sebelum membuat sebarang keputusan. Sebagai parti yang datang daripada rakyat, kita akan mendengar pandangan rakyat,” katanya.
“Kami tidak berkompromi dengan rasuah. Itu sangat jelas,” tegasnya sambil mengingatkan untuk menunggu keputusan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebelum membuat sebarang keputusan.
Sementara itu, Phoong turut mengulangi sokongan berterusannya kepada pengerusi PH Sabah yang baru, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick.
“Keputusan itu dibuat melalui proses demokrasi berdasarkan perlembagaan kita. Kita tidak boleh ubah ini,” katanya sambil menambah perkara itu telah dibincangkan dengan rakan gabungan termasuk perbincangan dengan pengerusi PKR Sabah Mustapha Sakmud.
“Kami mengadakan beberapa perbincangan. Saya juga telah mengadakan perbincangan dengan Mustapha dan saya bersyukur kerana kita boleh berbincang secara terbuka dan mesra,” katanya.