Ketua Umno bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah digesa memohon maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim atas kenyataannya berhubung isu titah adendum.
Ahli Majlis Pimpinan PKR Fahmi Zainol menyifatkan bekas ahli parlimen Gua Musang itu menuduh secara melulu dan tidak berasas.
Jelasnya, pada 11 Jan lalu perdana menteri sudah menerangkan dengan jelas dan terperinci mengenai kronologi yang membawa kepada titah tambahan diraja itu yang membolehkan Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
“Penjelasan perdana menteri sekali gus menoktahkan segala tohmahan serta dakwaan melampau mengenai kebijaksaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, institusi beraja serta integriti badan kehakiman negara.
“Namun dalam kenyataan terbaru ketua Umno Gua Musang dengan jelas menyebut ‘kesalahan menyembunyikan fakta dan dokumen penting kerajaan, selain dengan sengaja menghalang keadilan’ yang merupakan satu tuduhan berat kerana tiada isu menyembunyikan fakta mahupun apa-apa dokumen penting kerajaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Semalam Malaysiakini melaporkan Umno Gua Musang menyifatkan kerajaan pimpinan Anwar menyembunyikan titah adendum itu, sekali gus menghalang proses keadilan.
Tengku Razaleigh yang juga dikenali sebagai Ku Li berkata sebagai perdana menteri, Anwar terikat dengan ikrar sumpah taat setia kepada Yang Di Pertuan Agong serta Perlembagaan Persekutuan.
Justeru katanya, sebarang keingkaran, menyembunyi atau menafikan titah Agong merupakan suatu penderhakaan besar kepada Raja dan Negara.
Semalam, dalam satu kenyataan berasingan, PKR Gua Musang turut tampil menyangkal dakwaan Umno bahawa kerajaan telah menyembunyikan adendum itu.
Sementara itu Fahmi menggesa Tengku Razaleigh memohon maaf secara terbuka kepada Anwar atas tuduhannya.
“Tambahan pula isu adendum ini sudah diperjelaskan dengan cukup sempurna oleh Perdana Menteri.
“Umno Gua Musang perlu menjadi lebih peka dalam mengikuti perkembangan yang mutakhir sebelum melontarkan pertuduhan yang berat seperti kali ini,” katanya yang juga Adun Pantai Jerejak.