Exco perumahan dan kerajaan tempatan Kedah Mansor Zakaria yakin mewajibkan penggunaan tulisan jawi sebagai tulisan kedua, selepas tulisan rumi, di semua papan iklan dan papan tanda di negeri pimpinan PAS itu tidak akan mengganggu keharmonian kaum .
“Kita nak orang kenal bila datang ke di Kedah, kita adalah negeri Tanah Melayu, Negara Malaysia. Kita bukan negeri orang putih dan sebagainya. Kita nak orang faham dan boleh baca," katanya. sambil menjelaskan bahawa tulisan Jawi akan berfungsi sebagai tulisan kedua untuk menggalakkan penggunaannya.
Harakah memetik Mansor sebagai berkata banyak papan tanda atau papan iklan sudah menggunakan tulisan Jawi sebagai tulisan kedua dan setakat ini tidak ada sebarang isu.
Justeru, tambahnya masyarakat bukan Islam tidak seharusnya berasa takut atau bimbang dengan cadangan dan saranan tersebut.
Mengenai larangan memaparkan imej wanita seksi dan tulisan berbaur perkauman dia menyifatkan ia sebagai pendekatan yang baik untuk mencegah eksploitasi atau memperagakan wanita.
Tegasnya, wanita mesti dihormati dan dilindungi daripada diperlakukan sedemikian yang semata-mata bertujuan untuk meningkatkan jualan produk atau tujuan lain.
Berhubung tulisan yang berunsur perkauman, dia berkata ia berisiko mengganggu keharmonian kaum dan boleh menggugat kestabilan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negeri itu.
“Ini bermakna penguatkuasaan yang akan kita laksanakan itu
menjaga hak wanita dan menjaga keharmonian sesama kita. Di Kedah ni kita nakkan rakyatnya hidup aman damai bersatu-padu dan bertoleransi.
“Paparan atau tulisan bertujuan menjatuhkan keharmonian kaum dan memecah- belah masyarakat, kita tidak mahu,” tegasnya lagi
Mansor juga menyeru semua masyarakat khususnya bukan Melayu supaya tidak mengambil risau atau memandang negatif cadangan itu.
Sebelum ini, Mansor berkata terdapat kritikan terutama daripada akhbar berbahasa Cina berikutan kenyataannya mengenai penggunaan tulisan Jawi.
“Walaupun banyak komen-komen di akhbar berbahasa Cina dan lain-lain tetapi kita harap rakyat negara dan negeri ini janganlah memandang perkara itu negatif sebaliknya pandanglah dari sudut positif," tambahnya.
Pada 14 Jan, Mansor berkata bahasa lain juga boleh digunakan sebagai tulisan ketiga pada papan iklan.