Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PULASAN | Apa agaknya yang sedang terlintas di kepala lelaki yang dilihat melepaskan tendangan kakinya ke arah muka Paijang dalam kejadian di Chukai, Kemaman pada Jumaat lalu?

Kemungkinan besar amarah sedang menguasai dirinya, justeru dia memilih kaki untuk 'berkata-kata' ketimbang lidah dan mulut. Tetapi adakah itu saja yang sedang berlegar-legar di fikirannya, atau bagaimana?

Dan apa pula agaknya yang sedang menguasai fikiran Paijang ketika dia melutut - dan menahan kesakitan - sambil cuba menghilangkan pedih pada matanya?

Sudah tentu Paijang berharap dia dibantu, dan apakah faktor yang akan mendorong dia dibantu kalau bukan sifat kemanusiaan?

Lebih daripada itu, apa yang dijangkakan oleh lelaki terbabit ketika dia berkata: "Dakpe, tuhang ade" dalam keadaan segenting itu? Kemungkinan besar dia mengharapkan keadaan mengendur dan kemelut itu boleh diatasi.

Tetapi kita hampir sangat pasti bahawa dia tidak menjangkakan sama sekali ada kaki orang lain singgah dan menghentak mukanya!

Dan sakitnya kita sama-sama rasakan di hati.

Kejadian yang menyentuh jiwa itu berlaku hampir tiga minggu selepas seorang lelaki bukan Islam - yang dikatakan juga mengalami masalah mental - menceroboh sebuah masjid di Kuala Lumpur.

Golongan perasan suci

Bahawa tindakan menceroboh dan melakukan provokasi itu adalah berbahaya memang tidak dapat dinafikan. Namun tindakan mengasari individu yang berkenaan secara berlebihan tetap tidak wajar, apatah lagi jika ia dilakukan kononnya demi agama.

Apa agaknya isyarat yang sedang dihantar oleh tuhan kepada kita melalui dua kejadian tersebut?

Beberapa ketika dulu ada pihak yang berasa cerdik dan suci akan selalu skeptikal apabila pihak berkuasa menjelaskan - sesekali - bahawa sesuatu kejadian buruk itu melibatkan orang kurang upaya (OKU).

Sindiran dan pelecehan akan dibuat sesuka hati tanpa sedikit pun mengambil kira perasaan dan realiti OKU atau keluarga mereka. Pelecehan itu termasuklah kononnya nasihat kepada keluarga OKU terbabit agar lebih peka dan gigih untuk memantau, misalnya.

Kata-kata 'nasihat' dan perasan holier than thou sebegitu memang sangat lazim dalam kehidupan kita setiap hari.

Sudah tentulah perbuatan terkutuk itu dilakukan oleh pihak yang tidak pernah mengalami sendiri bagaimana kesulitan menguruskan seorang OKU. Dalam banyak keadaan juga, keluarga atau penjaga OKU tersebut sendiri ditakdirkan berdepan kekangan tertentu. Atau kekurangan tertentu.

Mereka - yang perasan suci itu - enggan mengambil kira bahawa ada OKU yang sebenarnya gagal mentafsir maklumat di sekeliling mereka seperti yang difahami oleh orang lain. Bukannya mereka enggan, tetapi tuhan mentakdirkan ia tidak dapat dibuat seperti orang biasa.

Hidup dengan semangat membara ini memang selalunya menjadikan seseorang sebagai si pemberani tumpul. Dibalut pula dengan 'dalil' agama dan bakaran emosi bersistematik, selalunya syahid sajalah yang terbayang di depan mata.

Kita ini sebenarnya sudah semakin tenat dan melarat. Di sebalik keyakinan bahawa kita semakin kuat berpegang pada ajaran agama, masyarakat bahkan menunjukkan petanda sebaliknya.

Ia menjadikan sesetengah orang boleh bermudah-mudah dalam menghukum. Akidah orang lain saja pun kita boleh tentukan sah atau batalnya, lalu berlanjutan ke nasib seseorang selepas mati.

Syurga atau neraka itu seolah-olah premis yang diwariskan oleh datuk nenek untuk kita jaga.

Tiba-tiba lidah kelu

Jangan lupa juga bahawa kita juga sedang bertegas mahu berpadu atas nama bangsa yang pertama, dan agama di tempat kedua. Padahal sebelum ini kita mampu meletakkan faktor bangsa itu di tempat kedua kerana yakin agama adalah penyatu sebenar.

Tetapi kadang-kadang semangat beragama yang tidak dipandu akal yang sihat juga berbahaya. Semangat tidak ketahuan itu jugalah yang boleh mendorong seseorang tergamak mengeluarkan kenyataan mahu menyembelih orang bukan Islam, misalnya.

Dia menyangka sedang berjuang untuk tuhan, tetapi dengan kebebalan yang tebal itu dia tidak tahu bahawa sebenarnya dia sedang menghamburkan fitnah yang dahsyat terhadap Islam.

Lebih celaka apabila di sebalik pelbagai kebobrokan itu sesetengah agamawan yang mencurahkan minyak membakar semangat orang ramai bahkan sekadar menjadi tunggul kayu.

Entah kerana mereka tiba-tiba hilang ingatan atau diserang nyanyuk, atau ada masalah disartria (dysarthria) sedangkan sebelum itu lidah masing-masing begitu lincah berkata-kata, hatta sehingga lebih laju daripada akal.

Seperti yang pernah ditulis beberapa kali sebelum ini, fahaman yang ditanam bahawa adalah OK untuk melakukan apa saja kesalahan dalam keadaan kita masih Muslim kerana akhirnya kita akan masuk ke syurga itu adalah sangat berbahaya.

Hujah itu benar, tetapi cara ia dipasakkan ke dalam kepala orang ramai begitu menyesatkan. Mengapa ia boleh berlaku begitu? Sudah tentu kerana kepentingan politik.

Ia dituturkan oleh 'ulama' berstatus tuan guru dan disokong - bahkan disakralkan - oleh pentaasub yang berselerakan di bawah. Lalu fahaman itu pun dibiakkan di mana-mana.

Ironinya apabila orang biasa terpalit dengan masalah, pihak atasan yang bertanggungjawab mengajarkan fahaman tersebut akan menjauhkan diri, atau berpura-pura tidak tahu apa-apa.

Kemudian mereka pun dihinggapi penyakit disartria.

"Takkan semua benda nak kaitkan dengan politik?" kata kamu, mungkin.

Benar, tapi bukankah kamu juga yang berkata bahawa politik itu tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan sehari-hari? Ya, kamu mengatakan hal itu ketika ia menguntungkan, tetapi menolaknya jika ia menyusahkan.

Dalam al-Quran ada disebutkan bahawa ciri manusia yang beriman itu ialah, apabila nama tuhan disebut, gementar hatinya.

Tapi apabila Paijang menyebutkan kalimah tuhan, dia dibalas dengan kaki. Cuma setakat ini kita tidak mendengar ada sesiapa yang menjeritkan: "Nnataang!"

Dakpe Paijang, sabo... tuhang ade.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang masih bergelut untuk memadamkan trauma melihat Paijang ditendang pada mukanya.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS