Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Sogit' Fahmi: Usah pertahankan korupsi, kata mahasiswa Sabah
Diterbitkan:  Jan 19, 2025 8:00 PM
Dikemaskini: 12:18 PM

Kumpulan mahasiswa di Sabah mengkritik keputusan Mahkamah Anak Negeri Keningau menuntut pampasan adat (sogit) daripada pereka grafik, Fahmi Reza berhubung karikaturnya yang mengkritik Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman.

Dalam satu kenyataan, Timbalan Presiden Suara Mahasiswa UMS, Qistina Qaisara Syahril Akmar, berkata keputusan mengenakan ‘sogit’ ke atas Fahmi adalah tidak wajar kerana hukuman sedemikian sepatutnya dikenakan kepada individu yang melanggar norma atau kod etika adat.

"Suara Mahasiswa berpendirian bahawa kebebasan untuk mengkritik adalah elemen penting dalam sebuah sistem demokrasi yang sihat.

"Jika benar tindakan ini diambil untuk menegakkan penghormatan terhadap masyarakat Sabah, maka usahlah pertahankan kebobrokan korupsi. Sebaliknya, pemimpin perlu memperjuangkan suara rakyat, membela mereka daripada ketirisan dan ketidakadilan," katanya.

Khamis lalu Mahkamah Anak Negeri Keningau dilaporkan akan mengeluarkan saman terhadap Fahmi berhubung karikaturnya yang menggambarkan Musa sebagai individu paling korup di negeri itu.

Mahkamah tersebut berpendapat karikatur itu merupakan penghinaan serius kepada Musa dan rakyat Sabah, khususnya masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut.

Ketua daerah Bingkor Daniel Palangi dipetik sebagai berkata oleh Borneo Post bahawa keputusan itu dibuat sebulat suara semasa mesyuarat khas antara ketua-ketua daerah dan ketua kampung.

Fahmi sebelum ini membidas Musa melalui karikatur "Koruptor No 1 Sabah" sejak dilantik sebagai gabenor negeri itu pada Disember lalu.

Ketika lawatannya ke Kota Kinabalu, Fahmi turut menampal karikatur berkenaan di tembok, yang kemudiannya ditanggalkan oleh pihak berkuasa.

Pada 30 Dis lalu dia ditahan dan disiasat di bawah Akta Hasutan kerana melukis karikatur berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS