Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pemuda Bersatu, Umno tuntut tindakan tegas terhadap individu pukul OKU
Diterbitkan:  Jan 19, 2025 6:14 PM
Dikemaskini: 10:17 AM

Pemuda Bersatu dan Umno hari ini menggesa tindakan tegas terhadap sekumpulan individu yang memukul seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental dalam satu kejadian di sebuah pasar tani di Kemaman, Jumaat lalu.

Ketua Pemuda Bersatu, Kemaman Aziman Hadi Nazri dalam satu kenyataan berkata, perlakuan terhadap mangsa adalah tidak berperikemanusiaan dan bertentangan dengan nilai kemanusiaan, ajaran agama dan undang-undang.

“Mangsa yang dikategorikan sebagai pesakit cacat mental sepatutnya dilindungi daripada diserang.

“Kami menggesa pihak berkuasa menyiasat kejadian ini secara telus dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

“Penjenayah mesti menerima hukuman setimpal dengan tindakan mereka supaya kejadian ini boleh dijadikan pengajaran kepada orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri,” kata Aziman yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu.

Sementara itu, Pemuda Umno menawarkan bantuan guaman secara percuma kepada mangsa dan berjanji akan menuntut keadilan buat mangsa di mahkamah.

Ketuanya Dr Akmal Saleh dalam satu video di Facebooknya semalam turut mengutuk tindakan penyerang yang disifatkannya sebagai pengecut.

"Lagi menyedihkan hati saya diperlakukan seperti binatang, disepak muka, diheret tak ada rasa perikemanusiaan ke?

"Takkanlah tak tahu dia tu mental, katalah dia bukan pesakit mental pun, kenapa nak pukul ramai-ramai.

"Hei, kalau anak jantan bukan begitu caranya, meh saya ajar cara anak jantan," kata Akmal dalam video di Facebooknya.

Tawar khidmat guaman

Akmal berkata dia telah mengarahkan exco Pemuda Umno bersama peguam yang mewakili sayap parti itu untuk menawarkan khidmat guaman secara percuma kepada mangsa.

Hari ini, Akmal dalam satu lagi hantaran di Facebooknya memaklumkan yang exco Pemuda Umno telah bertemu dengan isteri kepada lelaki OKU berkenaan.

Dua hari lalu, satu klip video tular di media sosial menunjukkan seorang penunggang motosikal diserang sekumpulan lelaki selepas motosikalnya merempuh sebuah gerai di Pasar Tani Padang Astaka Chukai.

Susulan itu, polis dilaporkan menahan tiga lelaki berusia antara 18 dan 60 tahun bagi membantu siasatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS