Israel mengumumkan bahawa perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza, yang dijadualkan bermula pada Ahad jam 8.30 pagi, tidak akan dilaksanakan sehingga senarai tawanan wanita Israel yang akan dibebaskan diserahkan, lapor Agensi Berita dan Info Palestin (WAFA).
Perjanjian itu, yang diumumkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani pada Rabu (15 Jan), disahkan oleh Israel pada Sabtu (18 Jan).
Menurut perjanjian, gencatan senjata sepatutnya bermula pada 8.30 pagi Ahad dan akan dilaksanakan dalam tiga fasa.
Fasa pertama dijangka berlangsung selama 42 hari, sementara butiran fasa kedua dan ketiga akan dirundingkan kemudian.
Meskipun perjanjian itu diumumkan, Israel menyatakan dengan jelas bahawa pelaksanaan gencatan senjata tidak akan diteruskan sehingga senarai tawanan wanita, yang menjadi sebahagian daripada rancangan pembebasan disediakan.
Sejak perjanjian itu diumumkan pada Rabu, lebih 200 rakyat Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak terkorban di Gaza.
Perjanjian gencatan senjata itu muncul selepas tekanan antarabangsa meningkat apabila serangan Israel menyebabkan kemusnahan besar di Gaza, dengan hampir 80 peratus bangunan kediaman musnah.
Menurut organisasi kemanusiaan, lebih 46,899 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 110,725 lagi cedera sejak serangan bermula, sementara ribuan rumah serta infrastruktur penting musnah di Gaza.
Syarat utama perjanjian termasuk penghentian permusuhan selama 42 hari, pembukaan lintasan Gaza untuk bantuan kemanusiaan, pertukaran tawanan secara berperingkat, dan proses pembinaan semula Gaza di bawah pengawasan antarabangsa.
- Bernama