Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid harap isu sandwic ham tidak lagi diperbesarkan
Diterbitkan:  Jan 19, 2025 4:28 PM
Dikemaskini: 8:28 AM

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi berharap tidak ada lagi mana-mana pihak yang memperbesarkan isu jualam sandwic ham di cawangan kedai KK Mart di Universiti Malaya (UM).

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) berkata kerajaan menyerahkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung isu itu.

“Tindakan universiti awam yang menutup serta-merta dua premis jualan runcit di kampus itu yang menjual sandwic ‘ham’ ialah satu tindakan segera.

“Saya (selaku) Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal menjalinkan kerjasama dengan JAKIM telah melakukan beberapa saranan supaya perkara menyentuh soal agama ini haruslah dielakkan.

“Saya harap isu ini tidak lagi diperbesar kerana pihak rangkaian jualan runcit itu telah mengambil tindakan proaktif untuk menarik barangan itu dan mungkin ini satu kesilapan, (dan) kita harap ia satu pengajaran yang baik,” katanya dipetik Bernama hari ini.

Pada 13 Jan lalu Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh tampil mengecam penjualan 'sandwic ham' di kedai KK Mart di Universiti Malaya.

Adun Merlimau itu mempersoalkan mengapa ham yang dikaitkan dengan daging babi mendapat logo halal.

Tindakan itu mencetuskan pertikaian pemimpin DAP, Nga Kor Ming yang mengatakan ham tidak semestinya merujuk kepada produk daging babi.

Sandwic itu dihasilkan oleh Shake and Bake Cafe Sdn Bhd, yang menggunakan ham ayam yang disahkan halal untuk membuat sandwic.

Bagaimanapun, syarikat itu tidak mempunyai sijil untuk meletakkan logo halal pada bungkusan sandwic berkenaan.

KK Mart juga mendakwa syarikat itu menggunakan logo rangkaian kedai itu pada bungkusannya tanpa kebenaran.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS