Umno Gua Musang menyifatkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyembunyikan titah adendum tahanan rumah yang dikurniakan Yang di-Pertuan Agong kepada Najib Razak untuk menjalani tahanan rumah, sekali gus menghalang proses keadilan.
Ketuanya, Tengku Razaleigh Hamzah menggesa Anwar sebagai perdana menteri Anwar terikat dengan ikrar sumpah taat setia kepada Yang Di Pertuan Agong serta Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, katanya, sebarang keingkaran, menyembunyi atau menafikan titah Yang Di Pertuan Agong merupakan suatu penderhakaan besar kepada Raja dan Negara.
“Tindakan perdana menteri yang tidak konsisten dengan jawapan-jawapan sebelum ini jelas menampakkan wujudnya kelemahan ketara bagi seorang perdana menteri.
“Adalah tidak wajar dan tidak mungkin bagi seorang perdana menteri tidak tahu secara jelas kewujudan titah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tengku Razaleigh juga menggesa pihak lain yang turut terlibat dalam menyembunyikan titah adendum itu dikenakan tindakan kerana kesalahan menyembunyikan fakta dan dokumen penting kerajaan, selain dengan segaja menghalang keadilan.
Bekas ahli parlimen Gua Musang itu berkata meskipun Umno bersama kerajaan, ia tetap berpegang teguh kepada prinsip Perlembagaan Persekutuan.
Pendirian Umno Gua Musang itu dibuat selepas Mahkamah Rayuan pada 6 Jan lalu membenarkan Najib untuk memulakan semakan kehakiman berhubung titah berkenaan.
Pada 11 Jan lalu, perdana menteri mengakui bahawa peguam negara menerima surat berhubung titah tambahan diraja yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Bagaimanapun, dia menyebut selepas surat itu diterima, Agong bertukar dan peguam negara menyerahkan surat itu kepada istana negara bagi membolehkan Agong yang baru, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, membuat keputusan.
Anwar menambah dalam satu mesyuarat yang dihadirinya, Peguam Negara telah menasihatkan Agong terdahulu bahawa baginda mempunyai budi bicara mutlak untuk membuat keputusan, tetapi keputusan itu mesti dibuat dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan, bukan di luar mesyuarat tersebut.
Sementara itu, Tengku Razaleigh berkata, Umno Gua Musang kecewa dengan pendirian kerajaan termasuk Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dalam isu berkenaan.
Katanya, Anwar dan Saifuddin jelas memberi maklumat tidak tepat serta mengelirukan di Dewan Rakyat berhubung titah tambahan itu.
"Umno Gua Musang kesal dan kecewa dengan sikap dan pendirian perdana menteri serta mereka yang berkaitan dengan perkara itu termasuk menteri dalam negeri yang jelas telah menafikan kewujudan titah adendum ini di dalam Dewan Rakyat serta luar dewan serta menyatakan titah tersebut sekadar 'hearsay'.
"Oleh itu Umno Gua Musang berpendapat dan berpendirian kerajaan dan perdana menteri sengaja menyembunyikan titah adendum tersebut dan telah mengkhianati prinsip berterus terang yang sepatutnya dijunjung kerajaan," katanya lagi.
Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan petang ini, PKR Gua Musang menyangkal dakwaan Umno bahawa kerajaan telah menyembunyikan adendum itu.
"PM telah jelaskan, dokumen itu tidak disorok oleh Kerajaan. Malah PM, Kabinet, dan Lembaga Pengampunan semua tak pernah lihat dokumen itu.
"Di mana dokumen itu? PM telah jelaskan: ia di Istana Negara.
"Umno Gua Musang perlu faham, isu ini bukan isu wujud atau tidak, sorok ke tidak. Isu ini juga sama ada dokumen itu boleh dilaksana oleh Lembaga Pengampunan atau tidak. Jawapannya tidak, " katanya.