Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail hari ini menafikan bahawa polis mempunyai kuasa untuk memeriksa telefon orang awam secara rawak tanpa alasan yang munasabah.
Jelasnya, polis tidak boleh dilihat sebagai agensi penguatkuasaan yang bertindak di luar peruntukan undang-undang.
"(Kemudian) Dia boleh tengok mana-mana Tom, Dick dan Harry (orang awam) dan kalau dia rasa nak ambil saja telefon, dia boleh ambil? Tak. Kami tidak bertindak begitu," katanya pada sidang media di Ekspo dan Sidang Kemuncak Keselamatan Antarabangsa Asia 2025, di Putrajaya.
“Bila satu keputusan dibuat untuk membuat pemeriksaan, there must be a basis to it (perlu ada alasan munasabah),” tambahnya.
Dia merujuk kepada kenyataan Ketua Polis Negara Razarudin Husain pada 14 Jan lepas bahawa polis mempunyai kuasa untuk memeriksa telefon bimbit seseorang berdasarkan syak wasangka yang munasabah.
Penggeledahan boleh dilakukan tanpa waran jika pegawai percaya kelewatan dalam mendapatkan waran boleh menjejaskan siasatan, tambahnya.
Terdahulu hari ini, Suhakam mengulas perkara itu, menggesa orang ramai menghantar aduan sekiranya telefon mereka diperiksa secara rawak oleh polis.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Saifuddin berkata dia telah meminta Razarudin membincangkan perkara itu dengan Suhakam.
Katanya, Suhakam juga mesti memahami konteks tugas polis kerana terdapat banyak perspektif kepada isu itu.
"Sebab itu saya kata hal seumpama ini cara yang paling hikmah dan bijaksana adalah saya minta IGP duduk, berbincang, jelaskan dulu.
"Suhakam saya yakin boleh membantu masyarakat, mendidik masyarakat (mengenai tugas polis dan hak orang awam)," katanya.