Penganjur perhimpunan antirasuah yang akan diadakan di Kuala Lumpur telah menyerahkan notis kepada polis.
Ia adalah keperluan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, yang memperuntukkan bahawa penganjur perhimpunan mesti mengemukakan notis lima hari sebelum acara itu.
Sekretariat Rakyat Benci Rasuah menegaskan pergerakannya bebas daripada sebarang pengaruh politik dan diterajui oleh mahasiswa.
"Kami menjemput rakyat dan pelajar untuk menyertai kami dalam usaha penting ini untuk masa depan negara kita," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada Khamis, Malaysiakini melaporkan bahawa sekretariat kumpulan itu akan menganjurkan perhimpunan menuntut tindakan pantas terhadap semua ahli politik yang terlibat dalam kes rasuah, siasatan telus terhadap semua dakwaan rasuah, dan untuk semua pemimpin politik mengesahkan komitmen mereka ke arah menghentikan rasuah.
“"Adakah kerajaan buta atau tuli terhadap suara rakyat? Atau adakah pembangkang lebih bebal dengan menjadikan rasuah sebagai modal politik semata-mata?
"Kami turun ke jalanan kerana itu sahaja cara suara rakyat didengari. Baru-baru ini, Perdana Menteri sendiri menasihati supaya belia usah sibuk pertahankan pemimpin rasuah. Maka, kami sambut seruan tersebut," kata mereka.
Merujuk kepada pendedahan Malaysiakini baru-baru ini mengenai skandal di Sabah yang melibatkan beberapa Adun, ia menyatakan kekecewaan tentang bagaimana perkara itu tidak ditangani.
Perhimpunan itu akan berlangsung pada pukul 2.30 petang di hadapan pusat beli-belah Sogo dan peserta akan berarak ke Dataran Merdeka.