Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) meminta orang ramai menghantar aduan jika telefon mereka diperiksa ketika sekatan jalan raya.
Suhakam mengingatkan orang ramai untuk mencatat lokasi kejadian itu serta nama dan nombor pengenalan diri pegawai polis yang terlibat.
Pengadu kemudiannya hendaklah membuat laporan polis dan memaklumkan kepada Suhakam melalui e-mel di [email protected], laman web Suhakam aduan.suhakam.org.my, atau dengan hadir secara fizikal ke mana-mana pejabat Suhakam di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu atau Kuching.
"Suhakam menekankan bahawa menurut Seksyen 116B Kanun Prosedur Jenayah, pegawai polis berpangkat inspektor atau lebih tinggi hanya dibenarkan mengakses peranti mudah alih atau digital lain tertakluk kepada pemeriksaan itu sebagai sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan di mana polis mempunyai sebab munasabah untuk mempercayai bahawa sesuatu kesalahan telah atau sedang dilakukan.
"Seksyen 247 dan 248 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 juga mengkehendaki carian dan rampasan peranti digital itu dijalankan berhubung siasatan yang sedang dijalankan, mempunyai sebab munasabah untuk mempercayai bahawa satu kesalahan telah dilakukan," katanya.
Pada 14 Jan lepas, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata polis mempunyai kuasa untuk memeriksa telefon bimbit seseorang berdasarkan syak wasangka yang munasabah.
Dia memetik Seksyen 23(1) dan 116B CPC, serta peruntukan daripada AKM dan Akta Polis 1967.
Penggeledahan boleh dilakukan tanpa waran jika pegawai itu percaya bahawa penangguhan perolehan waran boleh menjejaskan siasatan, tambahnya.
Sementara itu, Suhakam menggesa kerajaan menjelaskan kenyataan Razarudin.
Ia menggalakkan orang ramai menyedari hak mereka apabila dihalang, disoal siasat atau ditangkap polis.
Ia mengesyorkan buku kecil Majlis Peguam Malaysia bertajuk "Polis dan Hak Asasi Anda", yang lebih dikenali sebagai Buku Merah.
Buku kecil itu boleh dimuat turun dari laman web Majlis Peguam dalam bahasa Malaysia dan Inggeris di sini.