Presiden MCA Wee Ka Siong menolak penjelasan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengenai keputusannya untuk menjual saham dalam Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) pada harga lebih rendah dan membelinya semula pada harga premium dalam tempoh masa yang singkat.
"Maaf ya, saya terpaksa menggunakan perkataan ini, mengarut," katanya dalam video yang dimuat naik di Facebook hari ini.
Pada 15 Januari, KWSP mempertahankan keputusan untuk membuat tawaran am sukarela bagi saham MAHB pada harga RM11 sesaham sebagai sebahagian daripada konsortium itu.
Kata dana simpanan pekerja itu, tindakan tersebut mencerminkan rancangan strategik jangka panjang untuk mencapai pertumbuhan dan pulangan yang mampan.
KWSP juga berkata sebagai institusi yang komited terhadap tadbir urus baik, ia melaksanakan polisi “Chinese Wall” bagi memastikan pengurus dana tidak mempunyai akses kepada sebarang maklumat penting yang tidak didedahkan kepada umum, seperti tawaran pengambilalihan yang mungkin berlaku.
""Polisi ini bertindak sebagai penghalang maklumat antara jabatan yang berbeza dalam KWSP, menghalang pendedahan maklumat material yang tidak didedahkan kepada umum dan mengekalkan integriti aktiviti pasaran," kata KWSP seperti dilapor Bernama.
Namun, Wee tidak terkesan dengan penjelasan KWSP itu.
Sebagai permulaan, pemimpin MCA itu menunjukkan polisi Chinese Wall digunakan dalam sektor perbankan manakala KWSP sebuah institusi pelaburan yang berbeza sengan bank.
"Eh, eh, eh Chinese Wall ni lazimnya digunakan oleh sektor perbankan di mana pemisahan maklumat melibatkan dua jabatan yang berasingan.
"Tetapi KWSP bukan bank dan ia melibatkan jabatan yang sama iaitu pelaburan...
"Apa guna mematuhi prinsip Chinese Wall dan akhirnya merugikan wang pencarum melebihi setengah bilion ringgit, untuk apa," soal Wee.
Istilah Chinese Wall dalam konteks perbankan dan kewangan merujuk halangan maklumat atau pengasingan maklumat di dalam organisasi tertentu, terutamanya dalam institusi kewangan seperti bank pelaburan.
Halangan ini bertujuan untuk memastikan maklumat sensitif atau sulit tidak dikongsi antara jabatan atau bahagian yang berlainan dalam syarikat yang mungkin mempunyai konflik kepentingan.
Banyak negara lain telah menggantikan istilah ini dengan "tembok etika."
Sementara itu, Wee turut mengkritik KWSP yang berkata pihaknya tiada pilihan selain meneruskan proses untuk membayar dividen kepada pencarumnya.
Ahli parlimen Ayer Hitam itu berkata isu ini bukan lagi mengenai tawaran umum RM11 sesaham tetapi siapa yang sebenarnya mengarahkan KWSP menjual saham MAHB pada harga rendah.
"Siapa yang arahkan saham MAHB milik KWSP dijual pada harga yang murah?
"Kemudian siapa pula yang bersetuju membeli balik saham MAHB dengan harga melebihi 80 peratus lebih tinggi daripada harga jualan asal saham MAHB oleh KWSP dalam tempoh singkat, iaitu tahun 2023?
"...yang untung itu siapa? Senaraikan. Yang rugi itu siapa? Sudah tentunya rakyat jelata yang merupakan pencarum KWSP," kata Wee.
Semalam, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengumumkan akan mengadakan prosiding pada bulan Februari untuk menyemak pengurusan lapangan terbang Malaysia di bawah Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, Khazanah, dan KWSP.
PAC menjangkakan prosiding akan memanggil lebih 10 saksi, termasuk semua pihak berkepentingan yang terlibat dalam pengurusan lapangan terbang di Malaysia, kata Pengerusinya Mas Ermieyati Samsuddin.