Keputusan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menaikkan caj perkhidmatannya bermula 1 Januari lalu mencetuskan rasa tidak puas hati ramai pihak, terutamanya buat mereka yang bergantung untuk rawatan penyakit kronik.
Namun ada pula pesakit yang menerimanya walau berat hati dan berharap mutu perkhidmatan meningkat seiring kenaikan bayaran.
Bagi Siti Amira Sariyathul, 38, seorang penghidap Systemic Lupus Erythematosus (SLE), kenaikan caj tersebut dianggap tidak wajar memandangkan caj sedia ada sudah cukup membebankan jika dibandingkan dengan hospital bukan swasta lain.
"Pesakit yang mempunyai insuran atau surat jaminan daripada majikan mungkin tidak terasa dengan kenaikan ini kerana rawatan mereka ditanggung sepenuhnya.
"Namun bagi pesakit kronik terutamanya golongan muda yang sedang belajar, tidak mempunyai pekerjaan serta tidak mampu memiliki insuran, ini akan memberi tekanan kewangan buat mereka," katanya kepada Malaysiakini.
Siti Amira yang menerima rawatan di PPUM sejak 2006 berkata kenaikan caj perkhidmatan itu mungkin memaksa sebahagian pesakit mencari alternatif lain.
"Sebahagian mungkin akan membuat keputusan untuk pindah ke hospital kerajaan lain yang sudah pun mempunyai bilangan pesakit yang ramai.
"Namun, bagi pesakit yang menghidapi penyakit jarang jumpa, mereka tidak mempunyai pilihan yang sama kerana hanya beberapa hospital yang merawat penyakit jarang jumpa, antaranya adalah PPUM," tambahnya.
Perlu lagi ramai pakar
Kenaikan caj ini juga, menurut Siti Amira berpotensi menyebabkan pesakit mengelak daripada meneruskan prosedur rawatan.
"Memandangkan rawatan penyakit-penyakit jarang jumpa adalah mahal, peningkatan caj hospital mungkin akan membuatkan pesakit tidak patuh kepada rejim rawatan sepenuhnya," katanya.
Dia menggesa kerajaan memperbaiki sistem kesihatan negara dengan memberikan peruntukan lebih besar untuk sektor ini.
"Jika lebih banyak pakar diwujudkan bagi merawat lebih banyak penyakit jarang jumpa, golongan yang tidak mampu ke hospital penyelidikan mempunyai pilihan ke hospital kerajaan lain yang lebih murah," katanya.
Selain itu, Siti Amira juga mencadangkan kerajaan memperluas pengiktirafan status Orang Kurang Upaya (OKU) kepada pesakit kronik melemahkan.
Ini katanya sejajar dengan kriteria ketidakupayaan yang terdapat dalam Klasifikasi Antarabangsa bagi Kesihatan, Fungsi dan Kurang Upaya (ICF) yang dikemukakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
"Dengan mengiktiraf penyakit-penyakit kronik melemahkan, termasuklah penyakit jarang jumpa sebagai OKU, golongan pesakit yang amat memerlukan rawatan tidak perlu berbelanja besar untuk mendapatkan rawatan di hospital-hospital penyelidikan terkemuka di negara ini, termasuklah PPUM kerana rawatan perubatan bagi golongan OKU adalah ditanggung oleh kerajaan sepenuhnya," tambahnya.
Pada 4 Januari, PPUM mempertahankan keputusan menaikkan caj perkhidmatan pesakit bagi prosedur, rawatan, dan perkhidmatan lain berikutan peningkatan kos. Sehari sebelumnya, media tempatan melaporkan bahawa caj hospital itu naik sehingga 70 peratus.
Caj wad hospital juga dilaporkan meningkat sebanyak 60 peratus, daripada RM120 kepada RM300 manakala rawatan susulan di klinik pakar naik dari RM15 kepada RM50.
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa agar kenaikan dilakukan secara beransur-ansur memandangkan PPUM satu-satunya hospital awam yang menawarkan perkhidmatan penjagaan kesihatan menyeluruh di Petaling Jaya.
Seorang anak pesakit, ingin dikenali sebagai Mei, 38 pula berpendapat kenaikan caj itu mungkin langkah untuk menampung kos operasi PPUM.
"Saya syak mereka perlu cari cara untuk meningkatkan hasil mereka untuk menampung operasi. Ia munasabah. Mungkin juga ada cara lebih baik untuk melakukannya tapi saya rasa kos perubatan mahal dan mungkin sebelum ini cajnya terlalu murah.
"Melainkan ada pihak yang boleh membiayai kos untuk mereka yang tak berkemampuan, saya tak tahu siapa pihak ini, tanggungjawab kerajaan? Kementerian Kesihatan?
KKM kena nilai kewajaran naik caj
“Saya tak berapa pasti. Rakyat perlu ada satu alternatiflah,” katanya.
Namun, Mei berharap kenaikan caj itu akan diiringi dengan peningkatan kualiti layanan kepada pesakit.
Seorang pesakit PPUM dari Petaling Jaya yang ingin dikenali sebagai Lee, 75 berkata dia menerima kenaikan caj tersebut walaupun berat hati.
"Kenaikan itu biasalah, harga semua barang pun naik dan beban tak beban cerita lain. Cuma kalau kita nak buat rawatan kena bayarlah. Nak buat macam mana harga barang semua naik dan nilai mata wang kita pun turun berbanding USD (dolar AS).
"Jadi, kita kena terimalah hakikat ini. Nak buat macam mana, kerajaan pun tak boleh buat apa. Caj sektor swasta pun naik, kerajaan kena naiklah," katanya.
Bagaimanapun, Lee meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menilai kewajaran tindakan PPUM itu.
Sementara itu, Ratah Veeria, 62 berkata dia tiada masalah dengan kenaikan caj tersebut asalkan rawatan yang diterima memuaskan hati.
"Munasabah atau tidak (kenaikan caj) kalau perkhidmatannya yang diberikan baik, kita sanggup bayar.
"Lagi pun kita warga emas terpaksa dapatkan rawatan dan macam saya sebagai pesara, ada masanya kami perlu bayar dengan duit sendiri juga kerana ada ubat-ubat yang tidak ditanggung oleh kerajaan.
"Jadi, selagi perkhidmatan yang diberikan bagus saya ok," katanya.