Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelabur berdemo tuntut tangkap pengasas MyAirline Allan Goh

Sekumpulan pelabur yang mendakwa menjadi mangsa penipuan oleh ahli perniagaan Allan Goh Hwan Hua berhimpun hari ini untuk mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pengasas bersama MYAirline itu.

Kumpulan tersebut berkumpul di luar pintu gerbang kawasan kediaman Hwan Hua di Bukit Jelutong, Shah Alam, dengan kehadiran kira-kira 20 anggota polis. Namun, mereka dimaklumkan Hwan Hua tidak lagi tinggal di kawasan kediaman itu.

Jurucakap kumpulan pelabur Daniel Goh menjelaskan himpunan itu diadakan bagi mendesak pihak berkuasa campur tangan selepas mereka gagal mendapatkan bayaran balik melibatkan pelaburan lebih RM8 juta.

“Kami ingin tahu apakah yang pihak berkuasa dah buat, apa tindakan mereka selepas dia direman? Siasatan dah lama, dah 15 bulan, apa yang awak buat tentangnya?

“Dia pun bebas berjalan ke sana ke sini dengan wang kami. Itu semua wang persaraan kami. Ada yang labur RM50,000, ada yang labur beberapa ratus ribu, ada yang berjuta. Semua ini wang persaraan mereka,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Daniel, situasi ini semakin meruncing apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Hwan Hua tidak mempunyai kes untuk dijawab malah tidak memanggil mana-mana saksi untuk pembelaan.

Daniel turut membangkitkan pertanyaan mengapa tiada tindakan dikenakan terhadap Hwan Hua walaupun dia telah didenda pihak berkuasa atas kesalahan mengambil wang orang ramai secara haram.

“Syarikat I-Serve Alan Goh dan beberapa syarikat lain semua bawah nama dia sama ada secara langsung atau tak langsung didenda kerana mengambil deposit secara haram, satu kesalahanlah oleh Bank Negara Malaysia, RM50 juta.

“Mereka bayar segera dalam masa beberapa hari tetapi selepas itu masih tiada pendakwaan. Jika anda dah disaman RM50 juta, dah disaman oleh polis maknanya anda dah buat salah.

“Jika anda dah buat salah, kenapa masih tiada pendakwaan,” soalnya.

Menurut Daniel lagi, jenayah penipuan yang dilakukan Hwan Hua bukan kesalahan biasa tetapi dikatakan melibatkan ratusan pelabur dan sangat serius.

“Ini bukan sekadar kesalahan meletak kereta atau langgar lampu isyarat merah, awak bayar kompaun tak perlu ke mahkamah.

‘Jenayah penipuan’

“Ini kesalahan jenayah besar yang amat besar. Ia melibatkan ribuan orang yang melabur simpanan seumur hidup mereka dan sekarang dia berjalan bebas ke sana sini. Jadi kami mahu pihak berkuasa ambil tindakan dan buat sesuatu dengan segera.

“Kami tak mahu perkara ini berlanjutan tanpa kami mengetahui perkembangan terkini," katanya.

Pada Oktober 2023, seramai 15 individu memfailkan saman terhadap Hwan Hua dan empat syarikat atas dakwaan gagal membayar balik pelaburan lebih RM8 juta.

Mereka yang berumur antara 58 hingga 74 tahun itu menamakan Hwan Hua, 57, yang juga pengasas bersama MYAirline Sdn Bhd, serta empat syarikat lain iaitu I-Serve Online Mall Sdn Bhd (ISOM), Bright Moon Venture Plt (BMV), Qa Smart Partnership Plt (QAS), dan Trillion Cove Holdings Berhad (TCH) dalam saman tersebut.

Hwan Hua turut memegang pelbagai jawatan dalam empat syarikat terbabit.

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan melalui Messrs Raj & Sach pada 21 Julai 2022, plaintif mendakwa Hwan Hua dan ISOM berniat memperdaya mereka dengan enggan membuat pembayaran walaupun telah menerima surat tuntutan.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang lagi mangsa, Azmi, 55 berkata dia menuntut agar Hwan Hua didakwa di bawah Seksyen 402 Kanun Keseksaan atas tuduhan menipu dalam skim pelaburan.

“Kita tak tahu sekarang ini di pihak kerajaan kenapa dah tak ada perkembangan terkini melibatkan kes jenayah penipuan di bawah Seksyen 420. Kalau sivil banyak dah kumpulan-kumpulan pelabur buat laporan polis tapi memang tak ada apa-apa perkembangan dan syarikat yang terlibat pun bagi kita macam-macam alasan, Bank Negara (patut) beku akaun merekalah.

“Jadi, harapan kita bagi kes jenayah penipuan ini di mana dia patut disabitkan kesalahan atas penipuan dan dengan itu sekurang-kurangnya keadilan kami terbela atau kita mungkin diberikan sedikit pampasan untuk kita tarik laporan polis terhadapnya,” katanya.

Namun, Azmi menambah harapan itu masih belum menjadi kenyataan.

“Jadi, kami hairan sama ada pihak berkuasa tidak mengeluarkan apa-apa arahan atau pihak polis tidak hantar laporan ke pihak atasan, atau ada apa-apa gangguan mahu pun campur tangan daripada pihak-pihak tertentu.

“Sebab kita nak tahu lebih lanjut perkembangan kes ini, kita nak tahu apa yang polis buat untuk selesaikan kes ini. Kes penipuan ini, dah ada akta jenayah dia tapi tak digunakan untuk membela rakyat. Kenapa polis tak gunakan akta itu," soalnya.

Azmi berkata dia kesal wang pelaburannya sekitar RM250,000 hangus begitu sahaja.

Sementara itu, Mustaqim Kumar Abdullah, 46, yang hadir berhimpun hari ini mendesak pihak berkuasa segera menyelesaikan kes berkenaan.

“Ramai yang buat pelaburan dengan dia dan sekarang dia dah tipu lebih RM50 juta duit pelabur yang juga penduduk sekitar Bukit Jelutong ini.

“Sepatutnya dia dah ditangkap sekarang ini tapi tiada tangkapan dilakukan, pelik dan sekarang dia telah menghilangkan diri. Tidak tahu ke mana pergi."

“Jadi, kalau boleh kita minta pihak berkuasa segera bertindak dalam kes ini, kita mahu perkara ini diselesaikan segera kerana kita tidak mahu akan ada lagi penipuan lain dibuatnya dan kalau tidak ditangani segera saya yakin ada banyak lagi yang akan menjadi mangsa," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS