Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pusat C4 sokong Himpunan Rakyat Benci Rasuah
Diterbitkan:  Jan 18, 2025 2:46 PM
Dikemaskini: 6:46 AM

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (Pusat C4) hari ini menyertai senarai pertubuhan masyarakat sivil yang menyokong Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang akan datang di Kuala Lumpur.

Dalam kenyataannya, NGO itu mengulangi gesaan agar Putrajaya menyiasat semua kes rasuah tanpa rasa takut atau pilih kasih kerana yakin wujud keraguan yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat terhadap komitmen kerajaan untuk menangani isu berkenaan.

Menurut Pusat C4, keadaan itu timbul disebabkan oleh kurangnya tindakan kerajaan terhadap rasuah walaupun Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjanjikan reformasi institusi bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti, serta bertoleransi sifar terhadap rasuah dalam sektor awam.

Sebagai contoh, NGO itu memetik skandal rasuah yang melibatkan beberapa pemimpin dan kerajaan Sabah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula enggan menjamin perlindungan kepada pemberi maklumat.

“Banyak peristiwa menambahkan rasa tidak puas hati orang ramai, seperti kekurangan reformasi antirasuah yang digubal walaupun terdapat banyak janji, termasuk pemisahan kuasa Jabatan Peguam Negara (AGC) dan pendakwa raya, serta pembentangan undang-undang penting antirasuah, juga isu pelaksanaan hukuman ke atas Najib Razak yang mungkin membawa kepada penahanan di rumah.

“(Terdapat) persoalan serius mengenai peranan AGC dalam pelbagai pelepasan bukan pembebasan melibatkan individu berkuasa politik seperti Ahmad Zahid Hamidi, Rosmah Mansor, Najib, dan Bung Moktar Radin.

“Juga pelantikan Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Sabah walaupun ia terlibat dalam pelbagai skandal rasuah,” katanya.

Tambah Pusat C4 lagi, Anwar perlu bersuara terhadap tindakan menekan pelbagai entiti prokerajaan terhadap pelajar Universiti Malaysia Sabah yang menganjurkan protes antirasuah di negeri itu pada malam tahun baru dua minggu lalu.

Katanya pelajar terbabit berdepan denngan gangguan dan ancaman dan ketara, termasuk tuntutan oleh tokoh berpengaruh dan universiti agar mereka membatalkan perhimpunan tersebut.

Polis pula, dakwa NGO berkenaan, bertindak "secara salah" kerana mengisytiharkan himpunan tersebut sebagai haram.

“Pihak yang bertindak memihak kepada kerajaan dan bagi pihak kerajaan jelas menindas hak pelajar itu berhimpun secara bebas.

“Anwar, di sebalik dakwaannya sendiri terhadap antirasuah, tidak bersuara secara jelas menyokong penganjur perhimpunan atau mengutuk tindakan yang diambil untuk menyekat mereka.

“Oleh itu, Pusat C4 mengulangi gesaan yang dibuat oleh Sekretariat Rakyat Benci Rasuah untuk menjalankan siasatan telus sepenuhnya terhadap semua dakwaan rasuah tanpa rasa takut atau pilih kasih agar pihak yang didapati bertanggungjawab dikenakan tindakan pantas dan tegas.

“Selain itu, Pusat C4 menggesa kerajaan memperkenalkan undang-undang dan dasar tadbir urus yang baik untuk membetulkan rasuah sistemik yang telah menjadi endemik dalam landskap politik Malaysia.

"Kerajaan Madani tidak lagi boleh bergantung pada alasan dan justifikasi 'perubahan tambahan' lagi," katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS