Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes pukul seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, pagi semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman DSP Wan Muhamad Wan Ja'afar berkata tiga lelaki terbabit termasuk seorang peniaga.
Katanya mereka yang ditahan itu berusia antara 18 hingga 60 tahun dan diberkas kira-kira jam 8 malam di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, Chukai, ketika hadir memberi keterangan.
Menurut Wan Muhamad siasatan menyeluruh akan dijalankan dari semua aspek. Pada masa sama, katanya, polis berharap saksi kejadian tampil untuk membantu siasatan.
"Kami turut menasihatkan keluarga mangsa supaya lebih peka dan memantau mangsa dengan baik supaya kejadian sama tidak berulang," katanya.
Semalam tular di laman sosial video sepanjang 1 minit 52 saat yang memaparkan seorang lelaki dipukul sebelum diheret oleh beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka Chukai.
Kejadian itu dipercayai berlaku selepas lelaki berusia 47 tahun itu - yang menunggang motosikal - terlanggar salah sebuah gerai sehingga menyebabkan barang jualan terjatuh.
- Bernama