Seorang peguam kanan di negara ini, Muhammad Shafee Abdullah, menggesa agar hakim Mahkamah Persekutuan, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, meletakkan jawatan.
Gesaan dibuat peguam bela Najib Razak itu dibuat berdasarkan kepada dakwaannya bahawa Ahmad Terrirudin mengelirukan mahkamah sebelum ini berhubung titah tambahan (adendum) untuk bekas perdana menteri terbabit.
Kata Shafee, Ahmad Terrirudin sepatutnya menyedari kewujudan adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu ketika dia bertugas sebagai peguam negara sebelum ini.
Menurut Shafee, sebagai peguam negara (sebelum dilantik menjadi hakim pada 12 Nov 2024) sepatutnya Ahmad Terrirudin mengakui kewujudan adendum tersebut dan membahaskan kesahihannya secara terbuka.
"Tindakan yang paling mulia adalah untuk peguam negara mengakui kewujudan adendum dan berhujah kesahihannya.
"Sebaliknya, dia memilih jalan yang tidak terhormat, berbahaya dan kini mencemar nama baiknya," tambah peguam berkenaan.
Adendum yang dinyatakan Shafee itu merujuk kepada titah Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengenai status pemenjaraan Najib - yang juga bekas Menteri Besar Pahang - di Penjara Kajang.
Al-Sultan Abdullah ketika ini merupakan Sultan Pahang selepas menamatkan khidmat baginda sebagai Agong. Kedudukan baginda kini digantikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim.
Ada duluan tahanan rumah
Najib - melalui Shafee - sedang cuba mendapatkan kebenaran pihak berkuasa untuk menghabiskan tempoh hukuman penjaranya di rumah.
Kata Shafee, dakwaan menyembunyikan adendum berkenaan adalah sesuatu yang sangat serius dan tidak sekadar melibatkan isu mengelirukan mahkamah.
Sebaliknya, kata peguam tersebut, ia menyentuh tindakan yang terkutuk serta bersifat jenayah.
"Bukan menjadi urusannya untuk menegakkan keadilan apabila sudah gagal sejak awal," katanya.
Tambah Shafee, sikap Jabatan Peguam Negara yang berdiam diri membawa kepada pengeliruan mahkamah dalam permohonan dibuat Najib pada April tahun lalu.
“Ketika kami di mahkamah, hakim mahkamah tinggi, Amarjeet Singh, dalam memutuskan sama ada memberikan kebenaran (untuk semakan kehakiman), terpaksa memutuskannya (kewujudan adendum) adalah khabar angin.
“Ia dianggap hanya syak wasangka, oleh itu dia tidak boleh terima. Dia terpaksa (membuat penghakiman begitu) kerana tiada maklum balas daripada peguam negara.
“Wakil peguam negara muncul. Perlu diandaikan dia adalah peguam negara kerana dia menjadi wakil (Ahmad Terrirudin),” katanya.
Mengulas lanjut mengenai keinginan pihak tertentu mahu memastikan Najib kekal di penjara, Shafee berkata walaupun tahanan rumah sesuatu yang luar biasa namun sudah ada duluan mengenainya.
Dia kemudian memetik kes salah seorang bekas pelanggannya, Kenneth Lee Fook Mun, yang menerima pengampunan Agong atas sabitan membunuh pada 24 tahun lalu.
Lee merupakan cucu kepada bekas menteri kewangan pertama, HS Lee.
Selepas menerima pengampunan, hukuman mati yang dikenakan ke atas lelaki terbabit ditukar kepada penjara seumur hidup dan dia menjalani baki hukuman berkenaan di rumahnya.
Pada 13 Jan lalu bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali turut menggesa Ahmad Terrirudin disingkirkan daripada hakim Mahkamah Persekutuan.
Tidak cukup dengan itu, Apandi juga menggesa pengganti Ahmad Terrirudin sebagai peguam negara, Mohd Dusuki Mokhtar, digugurkan kerana tidak bersikap telus mengenai kewujudan adendum berkenaan.
Kenyataan Apandi itu dibuat susulan Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberitahu bahawa titah tambahan Al-Sultan Abdullah dihantar terus kepada Jabatan Peguam Negara.