Isu sebenar di sebalik pekerja penjagaan kesihatan bekerja lebih masa ialah kekurangan kakitangan, bukan waktu bekerja, kata Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dr Akmal Saleh.
Katanya cara bagi mengatasi masalah tersebut ialah menambah bilangan pekerja penjagaan kesihatan, bukannya mengurangkan waktu bekerja mereka.
"Saya percaya, walaupun jadual baru (dicadangkan Kementerian Kesihatan Malaysia - KKM) menunjukkan jumlah waktu bekerja berkurangan, tetapi ia hanyalah sekadar teori dan angan-angan.
"Realitinya petugas kesihatan kita tetap akan terpaksa bertugas lebih masa disebabkan tugas yang banyak berbanding petugas yang ada," tambahnya dalam catatan Facebook.
Akmal berkata sekiranya KKM menghadapi kekangan kewangan, perkara yang paling tidak boleh dilakukan ialah tidak memotong elaun tunggu sedia (on-call) selepas bekerja selama 18 jam.
Jika elaun tersebut tidak dapat dibayar, tambah exco Melaka tersebut, sekurang-kurangnya KKM mengambil kira bayaran berdasarkan waktu bekerja petugas kesihatan berkenaan.
"Hargailah petugas kesihatan kita yang banyak berkorban untuk rakyat negara ini dan masih setia bekerja di sektor awam," katanya.
Tambah Akmal, dia berharap penggubal dasar yang bekerja mulai jam 8 pagi dan boleh pulang pada jam 5 petang, serta beroleh cuti pada hujung minggu dapat memahami isu sebenar.
Semalam media melaporkan bagaimana sesi dialog awam (town hall) KKM mengenai rancangan inisiatif waktu bekerja berlainan (WBB) bertukar menjadi medan luahan rasa kemarahan dan kekecewaan petugas kesihatan.
Sebahagian daripada mereka turut menuntut Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan agar meletak jawatan kerana gagal menangani isu tersebut.
Sebahagian yang lain pula mencadangkan mogok besar-besaran.