Pembangunan semula Gaza yang musnah akibat serangan Israel sejak Okt 2023 dijangka menelan kos lebih AS$1 trilion, kata Anwar Ibrahim.
Menurut perdana menteri, jumlah yang begitu besar diperlukan kerana pelbagai kemudahan seperti masjid, sekolah, hospital dan rumah telah musnah sepenuhnya.
“Ada yang anggarkan kos sebanyak AS$1 trilion,” katanya pada sidang media bersama media Malaysia yang membuat liputan lawatan ke United Kingdom.
Anwar berkata Jepun telah mengundang Malaysia untuk menjadi pengerusi bersama persidangan mengenai kerjasama antara Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) dengan fokus kepada pembangunan semula Gaza.
Perjanjian gencatan senjata tiga fasa yang diusahakan Mesir, AS dan Qatar diumumkan pada Rabu, akan berkuat kuasa Ahad ini bagi menamatkan konflik 15 bulan di Gaza.
Pada Khamis, Anwar berkata walaupun pembinaan semula menjadi keutamaan, kehilangan nyawa lebih 46,700 rakyat Palestin dan lebih dua juta orang kehilangan tempat tinggal perlu turut diakui dan tidak boleh dilupakan.
Anwar dalam rangka kerja lawatan ke United Kingdom dari 15 hingga 19 Jan dan selepas itu akan meneruskan lawatan kerja dua hari ke Belgium.
- Bernama