Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam Selangor (Cassa) dukacita dengan keputusan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menaikkan caj perkhidmatan bermula 1 Januari lalu.
Presidennya, Jacob George berkata lebih malang lagi, apa yang berlaku memperlihatkan kerajaan gagal untuk mengawal sebarang kenaikan yang sedang dan akan berlaku.
“Pada masa ini kita dalam satu keadaan, satu ekosistem yang pemerintah tak dapat kawal kenaikan-kenaikan tersebut,” katanya.
Dia mengibaratkan apa yang berlaku seperti “tangan kiri tak tahu apa tangan kanan buat dan tangan kanan tak tahu apa tangan kiri buat”.
Pada 4 Jan, PPUM mempertahankan keputusannya untuk menaikkan caj pesakit untuk prosedur, rawatan dan perkhidmatan berikutan peningkatan kos.
Sehari sebelumnya, MalaysiaNow melaporkan bahawa PPUM mengumumkan kenaikan sehingga 70 peratus dalam caj pesakit.
Memetik laporan akhbar harian Cina Guang Ming Daily, caj wad hospital itu akan dinaikkan sebanyak 60 peratus, daripada RM120 kepada RM300.
Bayaran untuk rawatan susulan di klinik pakar dinaikkan daripada RM15 kepada RM50, iaitu peningkatan sebanyak 70 peratus.
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kenaikan secara beransur-ansur memandangkan PPUM satu-satunya hospital awam yang menawarkan perkhidmatan penjagaan kesihatan menyeluruh di Petaling Jaya.
Campur tangan
Sementara itu, Jacob berkata, kewujudan dua bentuk saluran perkhidmatan kesihatan--kerajaan dan swasta--membuka ruang untuk pihak tertentu menentukan caj rawatan sendiri.
“Jika pemerintah tidak menunjukkan satu ketekalan untuk mengawal dan menjaga hak-hak pengguna atau pesakit ini, kita akan ada satu masalah yang begitu besar dan itulah masalahnya sekarang,” katanya.
Katanya, kerajaan boleh campur tangan dan memainkan peranannya.
“Cuma dalam keadaan sekarang, kerajaan tidak memainkan peranan yang seharusnya dia mainkan. Kerajaan pun macam dia nak jadi hero kepada semua golongan.
“Bila mereka jumpa kumpulan dari hospital swasta, dia cakap sesuatu dan bila jumpa di kumpulan dari hospital kerajaan dia akan cakap sesuatu. Bila jumpa pengguna pula dia akan cakap sesuatu.
“Jadi, pada masa ini kerajaan tidak konsisten. Bila kita tidak ada satu konsistensi, bila kerajaan tidak menunjukkan kestabilan dan persepsi atau dasar-dasar, golongan sebegini akan mengambil kesempatan,” katanya.
Bukan hospital swasta sepenuhnya
Sementara itu, bagi hospital separa kerajaan pula, PPUM tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan caj.
“Dalam hospital kerajaan ini mereka ada dua sayap, satu swasta dan satu lagi kerajaan.
“Tapi itu tidak memberi mereka satu lesen untuk menjalankan tugas mereka sebagai satu hospital swasta sepenuhnya,” katanya.
Jacob juga berkata PPUM mesti ada tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.
“Tunjukkan kita mana CSR dia? Apa yang dia nak buat untuk pesakit dan negara, itu tanda tanya sekarang ini,” katanya.