Malaysia yakin ia boleh mengemudi sebarang ketidaktentuan politik atau ekonomi yang timbul daripada pentadbiran Donald Trump yang akan mengangkat sumpah sebagai Presiden AS pada 20 Jan ini.
Pada masa sama Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata masih terlalu awal untuk memastikan bahawa ketegangan di antara Beijing dan Washington akan berlaku semasa pentadbiran Trump.
Kata Anwar Malaysia dan Asean telah mengadakan libat urus dengan kedua-dua negara terbabit selama beberapa dekad, dan menegaskan bahawa Kuala Lumpur akan terus mengekalkan dasar berkecuali dalam hubungannya dengan negara lain.
Anwar berkata China telah menjadi rakan dagangan yang sangat penting untuk Malaysia manakala AS terus menjadi pelabur terbesar di negara ini, dengan syarikar seperti Google dan Amazon melakukan pelaburan besar.
Berucap pada majlis makan malam dan sesi libat urus bersama lebih 700 diaspora Malaysia di London, perdana nenteri berkata mungkin terdapat sedikit ketidaktentuan berikutan keadaan semasa hubungan antara kedua-dua negara berkenaan.
“Mungkin akan ada sedikit perubahan tetapi saya pasti kita akan dapat mengadakan libat urus dengan China dan AS,” kata Anwar yang kini mengadakan lawatan kerja selama lima hari ke United Kingdom.
Apa yang lebih penting, katanya, Malaysia akan mengekalkan dasar pemusatannya dalam libat urus dengan kuasa besar global, demi kepentingan negara.
Anwar berkata negara kekal dengan pendirian berkecuali dalam mengadakan libat urus dengan negara lain, sambil menekankan bahawa Malaysia akan berpendirian bebas dalam keputusannya kerana ia meneruskan kepentingan nasional dan strategiknya berdasarkan prinsip sendiri.
- Bernama