Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas akauntan rugi lebih RM460,000 diperdaya tawaran 'bitcoin'
Diterbitkan:  Jan 18, 2025 9:20 AM
Dikemaskini: 1:20 AM

Seorang warga emas berputih mata apabila mengalami kerugian RM460,888 selepas terpedaya dengan pelaburan bitcoin yang menjanjikan pulangan lumayan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam ACP Mohd Sohaimi Ishak berkata pihaknya menerima laporan daripada akauntan terbabit yang mendakwa dia ditipu satu pelaburan bitcoin bernama PFOU yang disertainya pada Julai tahun lalu.

Katanya, wanita berusia 61 tahun itu tertarik dengan iklan pelaburan yang dipaparkan di Facebook dan menekan pautan yang disertakan sebelum dimasukkan ke dalam grup pelaburan bitcoin.

Menurut Mohd Sohaimi, mangsak kemudian diberikan penerangan oleh beberapa individu tentang pelaburan yang menjanjikan pulangan cepat dan lumayan.

"Pada penghujung Dis, mangsa mengambil keputusan menyertai pelaburan itu memandangkan hampir bersara. Dia diarahkan memuat turun aplikasi UVKXE bagi memantau bitcoin yang dilabur dan keuntungan yang diperoleh.

"Mangsa membuat tiga kali transaksi pembayaran ke dalam dua akaun bank berbeza berjumlah RM460,888 pada 30 Dis dan 16 Jan.

"Mangsa dapat melihat transaksi pelaburan itu dalam aplikasi UVKXE dan keuntungan berjumlah ASDT1,219,907.6624 bersamaan RM5.5 juta," katanya dalam kenyataan.

Tambah Mohd Sohaimi, apabila mangsa berhasrat mengeluarkan keuntungan tersebut, dia bagaimanapun diarahkan membuat pembayaran sebanyak RM550,152.35 kononnya untuk bayaran pengurusan.

Katanya mangsa tidak membuat bayaran itu kerana percaya dirinya telah ditipu sebelum bertindak membuat laporan polis semalam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan serta denda.

"Siasatan juga meliputi penglibatan 'keldai akaun' di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Orang ramai juga, kata Mohd Sohaimi, dinasihatkan agar sentiasa berwaspada terhadap taktik penipuan secara dalam talian yang semakin berleluasa, selain jangan mudah percaya dengan iklan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan cepat, lumayan dan mudah.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS