ULASAN | Sudah lebih sebulan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, meletakkan jawatan sebagai Bendahari Agung PN. Sudah sebulan juga punca dia mengambil tindakan itu kekal menjadi teka-teki.
Bagi sesetengah orang yang mengikuti rapat perkembangan politik negara, pengunduran Ahmad Samsuri memang mengejutkan, dan mungkin hanya segelintir yang berasa sebaliknya.
Hal itu dapat dihidu apabila pemimpin kanan PAS Terengganu sendiri mengaku tidak tahu-menahu apa yang mendorong bos mereka berundur dari jawatan penting berkenaan.
Sehingga hari ini tidak ada isyarat jelas dihantar Naib Presiden PAS itu bagi memberi gambaran di sebalik langkahnya. Yang pasti dia enggan menggalas tanggungjawab menjaga hal ehwal kewangan gabungan parti pembangkang berkenaan.
Tugas bendahari itu kalau mahu mudah difahami kerjanya ialah sebagai tukang urus wang. Ia termasuklah mencari, menguru selia, atau dengan kata mudah sebagai penjaga kantung kewangan organisasi.
Sudah tentu ia satu jawatan penting yang perlukan komitmen tinggi, dan mungkin tidak sesuai bagi individu yang sudah banyak beban tanggungjawabnya.
Apatah lagi apabila tokoh berprofil tinggi dan dekat dengan Abdul Hadi Awang itu juga disebut-sebut sebagai calon perdana menteri yang layak diangkat dari benih perjuangan PAS.
Sudah tentu banyak persiapan perlu disusun dengan rapi dan dicerakinkan gerak kerja ke arah itu agar sekurang-kurangnya dia bersedia jika sudah 'cukup jumlah' dan dipanggil mengangkat sumpah.
Tiada kesan signifikan
Tidak kurang juga, banyak orang menanggapi pengunduran Ahmad Samsuri daripada jawatan bendahari agung itu adalah tanda protes 'berjemaah' PAS terhadap percaturan pemimpin tertinggi PN menguruskan gabungan pembangkang.
Perlu diingat, sebelum Ahmad Samsuri membuat langkah mengejut, PAS - melalui pemudanya - menyentuh isu pelantikan Setiausaha Agung PN.
Pun begitu nampaknya Bersatu seakan-akan tidak mengendahkan 'kenyitan mata' tersirat tersebut.
Mereka meletakkan Azmin Ali mengisi tempat yang ditinggalkan Hamzah Zainudin. Seperti yang diketahui semua orang, kedua-dua mereka adalah pemimpin Bersatu.
Mungkin peletakan jawatan tersebut memang petanda PAS tidak berpuas hati, tetapi ada kemungkinan juga ia tidak melibatkan isu pelantikan setiausaha agung.
Pun begitu nampaknya ia tidak memberi apa-apa kesan signifikan kepada senario politik semasa. PN masih tidak berselerak; kerajaan Madani kekal di Putrajaya; dan PAS pun begitu saja seadanya.
Ini bermaksud, jika tindakan Ahmad Samsuri itu adalah protes kepada sekutu mereka secara tersirat, ia hanya mencetuskan kocakan kecil dalam cawan PN. bahkan semua pihak dalam PN tidak boleh berkata tidak dengan tindakannya itu.
Khabarnya PN mahu PAS mencadangkan sendiri nama lain untuk dicalonkan sebagai pengganti Ahmad Samsuri. Berdasarkan perkembangan setakat ini bolehlah dianggap PAS belum mengemukakan sebarang calon.
Keadaan itu memungkinkan pengunduran Ahmad Samsuri boleh dibaca sebagai langkah seni politik dalam politik, percaturan dalam percaturan atau strategi di sebalik strategi.
Muhyiddin kekal relevan
Namun sebenarnya langkah diambil Ahli Parlimen Kemaman itu amat wajar jika melihat kepada tanggungjawab sedia ada dipikul pakar aeroangkasa berkenaan.
Apatah lagi ketika ini dominasi PN dilihat berpihak kepada Bersatu secara harfiah, dan munculnya gabungan itu disandarkan kepada ketokohan Muhyiddin Yassin sebagai bekas orang besar Umno.
Bahkan ketika terbuang dari parti asalnya, Muhyiddin sempat memetik bait-bait sajak penyair terkenal Indonesia, Chairil Anwar: "Aku ini binatang jalang, dari kumpulannya terbuang”.
Dan selepas terbuang ternyata Muhyiddin diangkat menjadi perdana menteri walaupun hasil terlaksananya Langkah Sheraton.
Setakat ini, tiada sesiapa dalam PN boleh mengatasi ketokohan politik Muhyiddin, menjadikan bekas Timbalan Presiden Umno itu kekal relevan menerajui gabungan tersebut.
Kemudian apabila timbul polemik siapakah yang layak menjadi calon perdana menteri PN beberapa bulan lalu, Ahmad Samsuri yang dianggap memiliki kriteria itu dilantik menjadi bendahari agung.
Memanglah jawatan itu kanan kalau dibandingkan dengan kedudukan sebagai ahli jawatankuasa biasa, tetapi ia tidak cukup kanan berbanding setiausaha agung, misalnya. Atau jawatan yang lebih tinggi daripada itu.
Dengan apa yang sudah berlaku, ternyata cita-cita disuarakan oleh PAS tertolak dengan sendirinya. Jawatan Setiausaha Agung PN kekal di tangan orang Bersatu.
Sehari dua ini, polemik siapa calon perdana menteri daripada PN kembali menjadi butir percakapan yang masih tidak terselesaikan.
Seni politik memang mudah untuk dibaca bahawa penstrukturan organisasi kepartian menggambarkan siapa berpengaruh, mempengaruhi dan dipengaruhi.
Kata-kata Kareem
Namun seni politik dalam politik dalam konteks perkembangan terkebelakang ini menunjukkan kesukaran untuk menterjemah tindakan dan natijah di sebalik pengaruh yang terhimpun.
Isyarat dihantar Ahmad Samsuri boleh jadi satu hipotesis bagaimana seni politik dalam politik dimainkan PAS, dan menunjukkan keengganan parti itu untuk dipengaruhi dengan mudah.
Ketika teka-teki masih belum terjawab, Adun Rhu Rendang itu sempat memetik kata-kata seorang legenda bola keranjang AS, Kareem Abdul Jabbar yang berbunyi: "Saya cuba melakukan perkara yang betul pada masa yang sesuai. Ia mungkin hanya perkara kecil, tetapi pada kebiasaannya akan membezakan antara menang dan kalah".
Petikan itu mewakili apa yang Ahmad Samsuri rasa, hayati dan mahu sampaikan, tetapi dia menyerahkan tafsirannya kepada kebijaksanaan masing-masing.
Justeru, apabila Ahmad Samsuri berundur daripada lantikan yang diberikan kepadanya, dia melakukan perkara betul pada masa sesuai, walaupun bukan hal yang besar.
Sebagai orang yang disebut-sebut layak menjadi perdana menteri daripada PAS, bekas pensyarah itu dilihat sedang menebas semak-samun yang ada di sepanjang laluan tersebut.
Namun kesukaran yang menanti bukan sekadar kemuncup menanti melekat di kaki seluar, tetapi di sana sini ada duri-duri yang menanti.
Dan akhirnya sama ada Ahmad Samsuri melakukan perkara yang betul pada masa yang sesuai atau tidak, akan ditentukan oleh hasil langkahnya - menang atau kalah.
N FAIZAL GHAZALI ialah wartawan Malaysiakini yang pernah menikmati sedapnya hidangan sebuah restoran di sekitar Pulau Duyong, Terengganu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.