Mahkamah Agung AS hari ini mengesahkan undang-undang yang akan mengharamkan penggunaan TikTok di negara tersebut kecuali syarikat induknya yang berpangkalan di China, ByteDance, melupuskan kepentingan mereka, lapor Agensi Anadolu.
Pelupusan itu bagaimanapun dijangka tidak berlaku kerana tarikh akhir pengharaman TikTok ialah 19 Jan, sehari sebelum Donald Trump mengangkat sumpah sebagai presiden.
Pentadbiran Joe Biden pula memberi isyarat bahawa mereka tidak bercadang untuk menguatkuasakan undang-undang berkenaan sebelum Trump mengangkat sumpah jawatan.
Mahkamah tertinggi AS memutuskan bahawa langkah tersebut tidak melanggar hak kebebasan bersuara dan memberi pendapat di bawah perlembagaan dan sejajar dengan pendirian pentadbiran Biden.
Perlu diingat, Trump sebelum ini menggesa mahkamah menangguhkan tarikh akhir berkenaan untuk membolehkan dia merundingkan penyelesaian bagi mengekalkan TikTok di AS.
"Tidak diragukan bahawa bagi lebih 170 juta rakyat Amerika, TikTok menyediakan platform unik dan meluas untuk ekspresi, interaksi, serta sumber komuniti," kata mahkamah dalam pendapat tanpa tandatangan itu.
"Namun, Kongres telah menentukan bahawa pelupusan adalah perlu untuk menangani kebimbangan keselamatan negara berkaitan amalan pengumpulan data TikTok dan hubungannya dengan pihak asing yang dianggap musuh.
"Melalui keadaan ini, kami mendapati justifikasi pengumpulan data oleh kerajaan adalah mencukupi untuk menyokong peruntukan yang dicabar," tambahnya.
Undang-undang bipartisan yang diluluskan oleh Kongres dan ditandatangani Biden pada April lalu memberikan ByteDance tempoh 270 hari untuk melupuskan kepentingannya dalam TikTok atau aplikasi tersebut diharamkan di AS.
Keputusan sama ada untuk mengekalkan TikTok beroperasi atau menguatkuasakan larangan itu kini terletak di tangan Trump apabila dia secara rasmi memegang jawatan presiden.
Trump sebelum ini menunjukkan simpati terhadap TikTok menjelang larangan itu. Laporan pula menyatakan Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Shou Zi Chew, dijadual menghadiri majlis pelantikan Trump.
Terdapat juga laporan bahawa Trump sedang mempertimbangkan untuk menandatangani perintah eksekutif bagi mengatasi larangan tersebut.
- Bernama/AA