Sultan Selangor Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dirayu memberi pengampunan dan menukar hukuman mati yang dijatuhkan ke atas Sirul Azhar Umar, salah seorang individu yang disabitkan atas jenayah pembunuhan Altantuya Shaariibuu.
Jurucakap Madpet, Charles Hector berkata langkah ini selaras dengan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin kesamarataan di sisi undang-undang.
“Madpet menyeru Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Selangor (Amirudin Shari) dan Peguam Negara (Ahmad Terrirudin Mohd Salleh) untuk meminta Sultan Selangor menggunakan kuasa pengampunan baginda agar hukuman Sirul juga ditukar, seperti yang diterima oleh rakan subahatnya,” kata NGO antihukuman mati dan penyiksaan itu semalam.
Sirul, bekas anggota komando polis dijatuhkan hukuman mati kerana membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Pada 2015, Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum itu yang membebaskan Sirul dan rakan subahatnya Azilah Hadri serta mengembalikan sabitan serta hukuman mati ke atas mereka.
Bagaimanapun, Sirul melarikan diri ke Australia pada 2015 dan kekal di sana sejak itu.
Australia mempunyai dasar tidak menghalau balik individu asing yang berdepan hukuman mati di negara asal mereka, selaras dengan komitmen hak asasi manusia antarabangsa.
Pada 10 Oktober tahun lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Azilah untuk menukar hukuman mati kepada penjara 40 tahun dan 12 sebatan, berkuat kuasa dari tarikh penangkapannya.
Namun, Sirul tidak memohon untuk penjatuhan semula hukuman menyebabkan hukuman matinya masih kekal secara teknikal.
Tegas Hector penukaran hukuman Sirul agar setara dengan hukuman Azilah akan selaras dengan prinsip kesamarataan undang-undang di bawah Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Kami juga mendesak kerajaan menggubal undang-undang yang membolehkan mahkamah menggunakan keputusan yang sama untuk pihak yang terlibat dalam kesalahan bersama, walaupun mereka tidak memohon semakan hukuman,” katanya.
Dia turut mencadangkan perbezaan hukuman hanya wajar jika terdapat bukti jelas penglibatan berbeza individu dalam sesuatu jenayah atau berdasarkan faktor peringanan atau pemberatan yang relevan.
Langkah ini, menurut Madpet bukan sahaja memperjuangkan keadilan tetapi juga memastikan semua individu mendapat layanan yang sama di sisi undang-undang.