GLOBAL | Presiden Amerika Syarikat yang bakal secara rasmi mengangkat sumpah jawatan Donald Trump, memaklumkan dia telah mengadakan perbincangan yang baik dengan pemimpin China, Xi Jinping, pada Jumaat mengenai beberapa isu utama, termasuk perdagangan, masalah ketagihan dadah fentanyl dan TikTok.
“Perbualan itu sangat positif untuk kedua-dua negara, China dan Amerika Syarikat.
"Saya menjangkakan bahawa kita akan menyelesaikan banyak masalah bersama, bermula serta-merta.
"Kami membincangkan keseimbangan perdagangan, fentanyl, TikTok, dan banyak lagi perkara lain,” tulis Trump di platform media sosialnya.
“Presiden Xi dan saya akan melakukan segala yang mungkin untuk menjadikan dunia lebih aman dan selamat,” kata Trump.
Media rasmi China, Xinhua, turut melaporkan perbualan telefon antara Xi dan Trump pada hari yang sama, namun tidak memberikan butiran lanjut mengenai isi perbincangan.
Pada 6 Januari, Trump menyatakan bahawa beliau dan Xi telah berkomunikasi melalui wakil-wakil mereka, dan menyuarakan keyakinan terhadap hubungan mereka yang semakin baik.