Majlis libat urus sesi town hall Kementerian Kesihatan (KKM) yang diadakan hari ini untuk membincangkan pelaksanaan rancangan kontroversi “Waktu Kerja Berlainan” (WBB) dilaporkan bertukar menjadi medan luahan kemarahan dan kekecewaan petugas kesihatan.
Portal berita kesihatan CodeBlue melaporkan ramai kakitangan KKM menyuarakan bantahan mereka terhadap rancangan tersebut.
Antara isu yang dibangkitkan termasuk pemotongan elaun, sistem baru tidak fleksibel dan kesan negatif terhadap keseimbangan kerja dan kehidupan mereka.
Menurut laporan itu, beberapa peserta sesi perbincangan itu yang berlangsung di Putrajaya dan menerusi platform Zoom, meminta Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad serta Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan untuk meletak jawatan.
Malah, ada juga seruan agar petugas kesihatan melancarkan mogok besar-besaran.
“YBMK (Yang Berhormat Menteri Kesihatan), tunggu kami lancarkan mogok besar-besaran,” tulis seorang peserta dalam ruangan sembang Zoom semasa sesi berlangsung.
Pertikai rancangan
WBB, yang dijadualkan memulakan fasa pertama pada 1 Februari, mendapat kecaman teruk daripada kumpulan pengamal perubatan Hartal Doktor Kontrak (HDK).
Menurut HDK, sistem ini dianggap “eksploitasi dan berbahaya” kerana mengurangkan pampasan yang adil untuk petugas kesihatan, meningkatkan tekanan mental dan fizikal, serta menjejaskan kualiti penjagaan pesakit.
“Penugasan malam kini dianggap sebagai jam kerja biasa dalam minggu kerja 45 jam, tanpa mengambil kira kepenatan yang dialami petugas kesihatan di lapangan,” kata HDK melalui kenyataan pada Khamis.
Mereka juga menuduh dasar ini dirancang tanpa perundingan dengan doktor, persatuan perubatan, atau kesatuan sekerja.
“Dasar ini direka oleh mereka yang hidup di menara gading tanpa memahami realiti yang dihadapi petugas kesihatan,” tambah HDK.
Penjelasan menteri kesihatan
Dalam sidang media selepas sesi itu, Dzulkefly menegaskan WBB masih berada di peringkat cadangan dan belum diluluskan oleh dirinya atau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Dia turut memaklumkan pegawai tertinggi KKM akan membincangkan isu ini dengan lebih terperinci semasa sesi perbincangan selama tiga hari yang bermula hari ini.
Dzulkefly menjelaskan WBB dirancang untuk mengurangkan keletihan pegawai perubatan dan meningkatkan kualiti kehidupan mereka serta perkhidmatan kepada rakyat.
“Sistem ini bertujuan mengurangkan tempoh tugas aktif ‘on-call’ dari maksimum 33 jam ke 18 jam bagi setiap syif.
"(Ini untuk) memastikan tiada pegawai perubatan bekerja lebih dari 24 jam berturut-turut, dan mengurangkan jam kerja mingguan dari 99 jam ke maksimum 72 jam,” katanya.