Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying mengakui kewujudan "era keluarga Lim" dalam kepimpinan politik hasil sokongan DAP dan pengundi.
Tegasnya masa depan keluarga Lim dalam politik bergantung sepenuhnya kepada akar umbi parti dan pemilih.
“Jika suatu hari nanti, pengundi dan parti tidak lagi memerlukan keluarga Lim, kami bersedia untuk berundur,” kata Hui Ying pada wawancara bersama media sempena kunjungan Tahun Baru Cina ke pejabat akhbar Oriental Daily News dan Kwong Wah Yit Poh.
Hui Ying, yang sering dikenali sebagai “anak perempuan Lim Kit Siang” dan “adik perempuan Lim Guan Eng”, mengakui tanggapan ini sebahagian daripada perjalanan politiknya.
“Saya bangga menjadi anak Kit Siang. Tidak semua orang dapat menjadi anaknya – dia hanya mempunyai dua anak perempuan dan Guan Eng hanya ada dua adik perempuan,” katanya.
“Individu tidak boleh wujud secara bebas tanpa parti politik mereka. Parti lebih penting daripada individu...
“Pada tahap parti, ia adalah keputusan akar umbi. Pada tahap nasional, ia bergantung kepada pengundi. Jika perwakilan parti dan pengundi merasakan khidmat kami tidak lagi diperlukan, kami sedia berundur,” jelasnya.
Hui Ying turut menyeru semua ahli politik agar bersikap rendah hati untuk menerima jika sudah sampai masa untuk berundur walaupun keputusan itu sukar secara emosi.
“Setiap ahli politik mesti mempunyai minda yang betul. Bila tiba masanya untuk berundur, kita perlu menerimanya,” katanya.
Mengulas mengenai gaya kepimpinan politiknya, Hui Ying berkata dia tidak mengikuti gaya bapanya, Kit Siang atau abangnya, Guan Eng. Sebaliknya, dia memilih pendekatan yang lebih rendah profil dan memberi fokus kepada tindakan yang perlu dilakukan.
“Saya lebih suka pendekatan yang tidak menonjol, fokus kepada kerja yang perlu diselesaikan,” katanya.
Walaupun begitu, dia tetap melihat hubungannya dengan keluarga Lim sebagai satu keistimewaan, walaupun datang bersama tekanan tertentu.
Hui Ying turut mengakui pada usia muda dia merasa sensitif apabila dikenali sebagai “adik Guan Eng”.
“Dulu, saya akan balas dengan berkata saya anak Kit Siang.
“Sekarang, jika ada yang panggil saya begitu, saya hanya senyum dan berkata, ‘Ya, saya adiknya,’” katanya.
Dalam wawancara itu, Hui Ying turut membincangkan cabaran dalam parti dan menekankan pentingnya perpaduan.
“Setiap parti politik ada faksi atau ahli yang menyokong pemimpin tertentu. Itu normal. Tetapi apabila berdepan isu luar, DAP mesti tampil sebagai satu pasukan,” katanya.
Dia percaya pengundi hari ini lebih matang dan memilih berdasarkan parti politik, bukan individu.
“Dulu, pemimpin dengan personaliti kuat boleh bertanding secara bebas dan menang. Tapi hari ini, pengundi lebih cenderung memilih parti,” jelasnya.
Hui Ying juga menegaskan DAP kekal sebagai platform yang memberikan makna kepada peranan keluarga Lim dalam politik serta segala keputusan tentang masa depan mereka bergantung kepada parti dan pengundi.
“Tanpa DAP, kami tidak akan berada di sini,” tegasnya.