Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ulama Umno tegur menteri pertahan sandwic ham
Diterbitkan:  Jan 17, 2025 8:14 PM
Dikemaskini: 3:41 PM

Majlis Ulama Umno menegur menteri kerajaan yang dikatakan mempertahankan isu penjualan sandwic ham yang diragui status halal di cawangan pasaraya KK Mart Universiti Malaya (UM).

Timbalan Pengerusinya Mohd Khairuddin Aman Razali pada satu kenyataan media menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap KK Mart.

"Sangat tidak wajar juga mana-mana menteri daripada kerajaan memberi mesej mempertahankan kesalahan pasaraya terbabit kerana ia menimbulkan persepsi negatif terhadap Kerajaan Perpaduan di kalangan orang Islam.

"Pihak berkuasa perlu bertindak segera agar insiden stoking dengan kalimah Allah dulu tidak kembali berdarah lukanya," katanya tanpa menamakan menteri yang dimaksudkannya itu.

Mohd Khairuddin berkata menggunakan logo halal palsu satu "kesalahan besar" dan dia difahamkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang menyiapkan kertas siasatan untuk tindakan lanjut.

"Ini sudah masuk kategori penipuan perniagaan melibatkan pelanggan di kalangan umat Islam warga Universiti Malaya khususnya.

"Dan ia menimbulkan kesangsian terhadap status produk-produk makanan lain kerana ia melibatkan makan minum ribuan orang-orang Islam yang terpedaya dengan tanda halal palsu," katanya lagi.

Pada 13 Jan Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh tampil mengecam penjualan 'sandwic ham' di kedai KK Mart di Universiti Malaya.

Adun Merlimau itu berkata 'ham' dikaitkan dengan daging babi, menyoal "sejak bila ham dianggap halal dan bagaimana produk ini mendapat logo halal?”

Bagaimanapun, Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada 15 Jan berkata mereka yang memperbesarkan isu tentang nama ham sebagai dungu.

"Ham bermaksud proses untuk membuat makanan, dan kita ada turkey ham dan chicken ham yang sesuai dimakan.

"Begitu juga dengan root beer yang dibuat daripada akar sassafras yang tidak beralkohol dan baik untuk diminum.

"Menjadikan isu mengenainya hanya menunjukkan siapa yang sebenarnya bodoh," kata Nga.

Produk ham yang disahkan halal di Malaysia biasanya dilabel sebagai hirisan ayam atau ayam belanda dan bukannya ham.

Ini kerana garis panduan Jakim menyatakan bahawa produk yang mempunyai nama sinonim dengan makanan tidak halal - termasuk ham - tidak boleh disahkan halal dan perlu menggunakan keterangan lain.

Akmal kemudian sekali lagi menegaskan ‘ham’ merujuk kepada daging babi, bukannya proses pembuatan makanan seperti didakwa Nga.

Dia meminta menteri itu memahami maksud sebenar ham sebelum membuat kenyataan yang melulu.

"Bila ada menteri beritahu ‘ham’ bermaksud proses untuk membuat makanan, maka saya sertakan sekali di sini apakah maksud ham dari Oxford Learners’s Dictionary. Ham bermaksud daging yang datangnya dari babi.

"Jika daging itu datangnya dari sumber selain dari babi, ia mesti disertakan sumbernya di depan dahulu. Seperti daging lembu, maka ia disebut ‘beef ham’, jika daging ayam, maka ia disebut 'chicken ham',” kata Akmal.

Dalam perkembangan berkaitan, Syarikat Shake and Bake Cafe Sdn Bhd yang membekalkan sadwic kontroversi itu ke KK Mart berkata bahan digunakan untuk produk “ham and cheese sandwic” menggunakan ramuan yang mempunyai sijil halal.

Syarikat itu berkongsi salinan sijil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk produk didaftarkan atas nama “Chicken Sandwich/ Ayam Sandwic” dan “Emborg burgers slices coloured” bagi kelulusan halal dari Austria.

Salinan sijil halal ramuan sandwic yang dikongsi syarikat itu dikeluarkan Jakim pada 16 April 2023 dan sah sehingga 15 April 2025.

Sijil halal itu dikeluarkan kepada syarikat Lucky Food Processing Sdn Bhd yang membekalkan bahan untuk produk tersebut.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebelum ini berkata sijil pengesahan dan logo halal tidak boleh diniaga, diberi pinjam, ditukar milik, dipalsukan, disalah guna atau dipinda dengan apa cara sekalipun.

KPDN juga telah membuka kertas siasatan terhadap sebuah kilang pembuat roti sandwic di Petaling Jaya, Selangor kerana disyaki menyalah guna logo halal.

Sabtu lalu, Universiti Malaya mengarahkan penutupan serta-merta dua cawangan KK Mart di kampus institusi pengajian tinggi berkenaan ekoran penjualan produk yang diragui status halal.

KK Mart telah membuat laporan polis dan mengarahkan peguamnya mengeluarkan surat tuntutan kepada syarikat itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS