Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Puad: Kalau kerajaan Islam pun Hadi tak layak jadi PM
Diterbitkan:  Jan 17, 2025 5:45 PM
Dikemaskini: 9:45 AM

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang tidak layak menjadi perdana menteri sekalipun jika rakyat mahukan kerajaan Islam, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi.

Jelasnya, ini kerana presiden PAS itu sering mengeluarkan "fatwa" yang sentiasa berubah yang akan memberi kesan kepada kerajaan jika dia menerajui negara.

"Inilah masalah PAS. Pendirian selalu berubah ubah. (Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS) Ustaz Mokhtar Senik lupa, Haji Hadi sendiri kata amalan umum awal jawatan perdana menteri tidak ikut adab Rasulullah. Sekarang boleh umum pula.

"Itu sebab Muafakat Nasional gagal. Hari ini kata lain, esok kata lain. Silap haribulan PAS akan kata berkawan dengan Israel pun boleh seperti dulu PAS boleh berkawan dengan DAP.

"Sebab itu kalau pun rakyat Malaysia mahukan kerajaan Islam, Haji Hadi tidak layak jadi PM. Kalau fatwa pun boleh berubah-ubah, dikhuatiri dasar-dasar ekonomi dan pentadbiran juga cepat 'flip flop'. Rakyat pening," tulisnya dalam satu hantaran di Facebook.

Pada Disember 2017, Abdul Hadi menyelar tindakan sesetengah parti yang lebih mengutamakan calon perdana menteri dan pembentukan kabinet bayangan jika mereka menang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Katanya,  tindakan itu bercanggah dengan adab yang dibawa Rasulullah SAW.

Semalam, ulama kanan PAS, Mokhtar Senik, menamakan Abdul Hadi, 77, sebagai calon perdana menteri yang pada pandangannya mampu membawa wajah baru politik di negara ini.

Antara alasan yang diberikan ialah, Abdul Hadi memiliki ciri penting untuk seseorang menjadi pemimpin, iaitu berilmu dan bertakwa sehingga dapat mengenal batas di antara halal dan haram, serta pada masa sama mendirik rakyat mengenainya.

Mokhtar Senik

Hari ini Mokhtar menjelaskan apa yang terkandung dalam pemikirannya.

Kata Mokhtar dia menamakan Presiden PAS itu sebagai cadangan jika orang ramai mahukan sebuah kerajaan Islam dan negara Islam tertegak di Malaysia.

"Ada satu hal yang mereka gagal faham mengenai status (di media sosial semalam) itu.

"Maksud saya TGHH (Tuan Guru Haji Hadi) paling layak itu jika mahukan sebuah kerajaan Islam dan negara Islam.

"Tapi kalau mahukan sebuah negara sekular, liberal yang macam ada sekarang memanglah TGHH tak layak," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS