Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas majistret tetap kena penjara 58 tahun, denda RM1.05 juta
Diterbitkan:  Jan 17, 2025 4:42 PM
Dikemaskini: 10:06 AM

Mahkamah Tinggi di Kuantan hari ini mengekalkan hukuman denda dan penjara ke atas seorang bekas majistret yang didapati bersalah atas enam pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada seorang peniaga, kira-kira lima tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Radzi Harun menolak rayuan Mohamad Amin Shahul Hamid, 44, dan mengekalkan hukuman penjara 58 tahun dan denda RM1.05 juta atau 72 bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Bagaimanapun, Hakim Mohd Radzi membenarkan Mohamad Amin menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara yang ditetapkan bermula hari ini dan denda kerana ingin merayu ke Mahkamah Rayuan.

Bagi tujuan itu, mahkamah menaikkan jaminan asal daripada RM50,000 kepada RM100,000 dengan dua orang penjamin.

Dalam penghakimannya, Mohd Radzi berkata setelah meneliti, beliau mendapati semua hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen adalah adil, saksama dan tidak keterlaluan selain sejajar dengan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mohamad Amin didakwa meminta suapan berjumlah RM100,000 dan menerima suapan bernilai RM110,000 daripada peniaga Hassan Basri Ahmad Sutan Modo di sekitar Lipis dan Raub antara 5 Julai hingga 22 Okt 2019, yang didakwa sebagai dorongan untuk hanya mengenakan hukuman denda dan bukan penjara terhadap lelaki itu yang didakwa memiliki rokok seludup.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Ezuain Farhana Ahmad manakala perayu diwakili peguam R Arvend serta S Arvind.

Terdahulu, Wan Shaharuddin memohon jaminan dikenakan terhadap Mohamad Amin dinaikkan kepada RM100,000 dengan dua penjamin.

Bagaimanapun, R Arvend memohon jumlah berkenaan dikurangkan kerana anak guamnya hanya membantu keluarga menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

Pada 2022, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 58 tahun dan denda RM1.05 juta terhadap Mohamad Amin dengan membenarkan semua hukuman penjara berjalan serentak, yang mana dia hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS